Thursday, September 22, 2011

Tok Bermin al-Fathani cergas, cermat dan kemas

TOK Kenali, Tok Kelaba dan Tok Bermin ialah tiga serangkai yang bersahabat dan seperguruan. Mereka adalah tiga gandingan nama ulama yang sering diperkatakan oleh masyarakat dalam lingkungan jalur mulai Kemboja, Bangkok, Patani, Semenanjung hinggalah di Sumatera pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Ada faktor-faktor tertentu kenapa masyarakat selalu memuji mereka.

Faktor yang pertama ialah ketiga-tiganya mempunyai banyak ilmu yang pada zamannya memang pada kedudukan yang paling atas. Tentang Tok Kenali, orang sering mengisahkan tentang ‘karamah’ beliau. Sebenarnya jika hal itu diceritakan tak kurang juga kedua-dua sahabat beliau iaitu Tok Kelaba dan Tok Bermin.

Artikel Ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam ruangan Agama Utusan Malaysia sudah berjumlah 97 judul termasuk artikel ini. Nampaknya kita tidak cukup ruang untuk menceritakan tentang ‘karamah’ kerana kisah yang bercorak zahir berdasarkan fakta terlalu padat.

Mungkin satu ketika nanti masyarakat menjadi bosan terhadap kisah zahir lalu ‘rohani’ mereka memberontak menuju kepada yang bercorak batin. Ketika itu kisah ‘karamah’ para Wali Allah atau ulama sangat perlu diperkenalkan. Kekosongan jiwa dan keruntuhan moral, terutama para remaja, akhir-akhir ini adalah akibat tidak diajar pengetahuan Islam secara bersepadu iaitu yang zahir (syariat) dan yang batin (tasawuf).

Ketiga-tiga ulama yang bersahabat tersebut telah berjasa dalam menyepadukan kedua-dua perkara tersebut sehingga sangat ramai murid mereka yang menjadi ulama.

Dalam artikel ini kita akan memperkatakan mengenai latar belakang Tok Bermin.

Nama lengkapnya ialah Al-Fadhil Al-‘Alim Haji Wan Muhammad bin Haji Wan Idris Bermin al-Fathani. Nama popularnya ialah Tok Bermin saja. Nama singkat itu lebih popular seperti juga nama Tok Kenali. Beliau lahir di Kampung Jambu, Patani pada tahun 1290H/1873M dan wafat di Bermin, malam Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M.

Datuk nenek beliau adalah dalam lingkungan keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pendidikan

Sebelum melanjutkan pelajaran ke Mekah, Tok Bermin telah memperoleh banyak ilmu di Patani, sekurang-kurangnya di pondok terkenal iaitu Pondok Bendang Daya. Tok Bermin tidak sempat belajar dengan Tok Bendang Daya yang pertama (Syeikh Haji Wan Mustafa) tetapi sempat belajar dengan Tok Bendang Daya yang kedua (Syeikh ‘Abdul Qadir bin Mustafa, yang dicatat oleh Tok Kelaba sebagai Wali Allah di Patani pada zamannya).

Tok Bermin belajar juga di Pondok Tok Raja Haji, Jambu. Pondok ini diasaskan oleh Haji Wan Idris (Tok Raja Haji) iaitu murid dan menantu pada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani. Kedua-dua guru Tok Bermin tersebut ada hubungan kekeluargaan yang erat. Sampailah pada zaman Tok Bermin yang menjadi ulama dan mengasaskan pondok dalam Patani, sekolah pondok didominasikan oleh keluarga mereka.

Ketika Tok Bermin belajar di Mekah, beliau belajar dengan ramai ulama, tetapi paling banyak pengetahuan diperoleh daripada Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Sama halnya dengan Tok Kenali, Tok Bermin adalah murid yang paling dikasihi oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Tok Bermin adalah seorang yang tegas, cermat dan kemas. Banyak persamaan antara Tok Kenali dengan Tok Bermin, tetapi tiga perkataan yang tersebut lebih mencerminkan syariat sedangkan Tok Kenali mempraktikkan tasawuf dengan cara-cara yang tersendiri.

Tok Bermin sangat tegas menentang kemasukan Kaum Muda di Patani. Tok Kenali pula kadang-kadang hadir di tempat perdebatan Kaum Tua dan Kaum Muda di Kota Bharu tetapi beliau hanya diam saja.

Ketika membaca kitab atau mendengar murid membaca kitab bahasa Arab, Tok Bermin sangat cermat. Beliau sangat terikat dengan kaedah ilmu, terutama dalam ilmu nahu dan ilmu sharaf, sedikit pun tidak boleh tersilap atau salah.

Jika tersalah baca, Tok Bermin menegurnya secara spontan langsung memberi keterangan dengan ‘tegas’. Tok Kenali sungguhpun beliau seorang ahli dalam ilmu-ilmu itu tetapi beliau membaca dengan laju tidak seperti Tok Bermin membaca perkataan satu demi satu dengan jelas.

Tok Bermin selalu kemas dalam berpakaian sama ada ketika mengajar atau berjalan. Pakaian yang dipakainya sentiasa tegang kerana berkanji menurut tradisi zaman itu. Ini juga berbeza dengan Tok Kenali yang selalu berpakaian menurut caranya tersendiri, atau pakaian ‘ahli ash-shufi’ setiap zaman yang selalu tidak sama dengan kebanyakan orang.

Tok Bermin jika berjalan ke mana-mana menunggang kudanya sendiri dengan tongkat kebesaran seperti yang biasa dipakai para Nabi atau ulama ash-sufi sentiasa tersedia pada tangannya. Jika menunggang kuda Tok Bermin selalu berdisiplin, mencerminkan kewibawaan, kebesaran ulama dan kelihatan gagah. Dielakkannya menunggang seperti ada kelemahan atau menanggung sesuatu penyakit.

Bijak

Tok Kenali pula tidak pernah kita dengar menunggang kuda, tetapi beliau lebih suka berjalan kaki. Kesimpulan cerita ini bukan bererti ada kecelaan salah seorang daripada kedua-dua ulama yang tersebut, tetapi kedua-duanya bijak menyesuaikan keadaan atau tempat di mana mereka berada. Sekiranya Tok Bermin tinggal di Kota Bharu, Kelantan kemungkinan beliau juga bertindak seperti Tok Kenali.

Sebaliknya jika Tok Kenali tinggal di Bermin, Patani, kemungkinan beliau berkelakuan seperti Tok Bermin. Seluruh kelakuan, bergerak dan diam ulama pada peringkat kedua-duanya adalah bertujuan mendidik masyarakat bukan memuaskan kepentingan hawa nafsu peribadi semata-mata.

Dalam beberapa siri artikel tentang ulama Minangkabau yang lalu, kita telah mengetahui tentang pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda yang cukup hebat di negeri itu. Pergolakan itu akhirnya menyeberang ke Semenanjung, sampai ke Legor. Dari Legor turun ke Patani.

Pada tangan saya ada manuskrip atau tulisan tangan asli Tok Bermin yang meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda. Beberapa petikan saya perturunkan dalam artikel ini untuk dapat dikaji oleh pihak-pihak yang berkepentingan apakah ia daripada golongan Kaum Tua atau Kaum Muda.

Penulisan yang berdasarkan data dan fakta bukanlah bererti berpihak dengan sesuatu pihak. Untuk berpihak, itu adalah penilaian setiap individu itu sendiri, berdasarkan keintelektualan, pengalaman dan lainnya, tetapi perlulah ada kejujuran. Apa-apa yang tersembunyi dalam hati itulah yang perlu dikongsi dengan masyarakat.

Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut: “Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya setengah daripada Kaum Muda yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.’’

Tarikh kejadian yang disebut oleh Tok Bermin iaitu 26 dan 28 Syawal 1347H itu adalah bersamaan dengan 6 dan 8 April 1929M.

Kenal

Memperhatikan tarikh ini bererti masih dalam lingkungan tahun-tahun yang sama dengan pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda di Sumatera. Tok Bermin lahir pada tahun 1290H/1873M, bererti dia lebih tua sekitar enam tahun daripada Syeikh Abdul Karim Amrullah, pelopor Kaum Muda di Minangkabau yang lahir pada 1296H/ 1879M.

Kemungkinan Abdullah dan Burhan yang berasal dari Minangkabau yang disebut oleh Tok Bermin pada petikan di atas adalah termasuk murid Syeikh Abdul Karim Amrullah. Tidak dapat dinafikan bahawa Tok Bermin dan Syeikh Abdul Karim Amrullah telah kenal sejak di Mekah kerana kedua-duanya adalah belajar dengan para ulama Mekah yang sama.

Selanjutnya Tok Bermin menulis: “Maka telah nyata bahawasanya ‘Abdullah dan

Burhan bukan daripada orang yang mengikut Imam Syafie. Bahkan bukan daripada mazhab yang empat. Dan keduanya bawa bercakap dengan kitab bagi Imam Syafie itu kerana menipu dan supaya menyangka orang yang mendengar akan kedua-duanya itu orang yang mengikut Syafie, padahal bukan Syafie.

“Dan jika tiada keduanya bawa bercakap-cakap dengan ‘Kitab Umm’ itu, nescaya tiada seorang pun mengikut akan keduanya daripada permulaan masuk Abdullah dan Burhan ke dalam negeri Legor.”

Tulis Tok Bermin selanjutnya: “Dan sebab keluar keduanya dari mazhab itu, kerana menafi oleh keduanya akan ijmak dan qiyas. Dan keduanya ikut nas Quran dan hadis sahaja. Dan padahal ijmak dan qias itu, keduanya adalah setengah daripada dalil-dalil yang buat menghukum ‘ulama’ dengan dia.”

Tok Bermin membahaskan perkara tersebut dengan panjang lebar dan mendalam menggunakan hujah-hujah yang mantap ditinjau daripada pelbagai ilmu sebagaimana yang digunakan oleh jumhur ulama. Oleh sebab Tok Bermin memang pakar dalam banyak bidang ilmu, terutama ilmu alat, iaitu nahu dan sharaf. Abdullah dan Burhan kurang mengetahui tentang kedua-dua ilmu itu terpaksa diam saja.

Dalam masa yang sama pertikaian khilafiyah menjalar terus termasuk peristiwa Mufti Haji Wan Musa di Kota Bharu, Kelantan, yang terkenal dengan masalah ‘jilatan anjing’. Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau yang menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafie di Masjid al-Haram, Mekah sendiri pernah dilawan oleh muridnya Syeikh Abdul Karim Amrullah.

Hal ini berbeza dengan Syeikh Ahmad al-Fathani kerana beliau tidak pernah dilawan oleh muridnya. Sewaktu pergolakan pemikiran khilafiyah di dunia Melayu, Syeikh Ahmad al-Fathani telah wafat. Bagaimanapun sewaktu permulaan khilafiyah di Asia Barat, iaitu pergolakan pemikiran antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (pembantah pertama pemikiran Kaum Tua) di Beirut dengan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir (pencetus pemikiran Kaum Muda), muncul peranan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Para ulama Mekah telah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani ke Beirut dan Kaherah untuk mendamaikan pertikaian pendapat kedua-dua ulama besar itu. Dalam pertemuan dengan Saiyid Yusuf an-Nabhani mahupun Syeikh Muhammad Abduh tidak terjadi perdebatan antara Syeikh Ahmad al-Fathani dengan kedua-duanya tetapi telah berlaku peristiwa sejarah yang panjang dan menarik.

Penulisan

Tidak banyak dijumpai tulisan Tok Bermin. Beliau lebih banyak mencurah dan menghabiskan masanya mengajar di pondok. Dalam koleksi saya terdapat beberapa judul tulisan beliau, iaitu mengenai Kaum Muda yang segelintir daripada kandungannya diperkenalkan di atas. Karya beliau yang lain ialah yang diberi judul Jawahir al-Kalamiyah, diselesaikan pada Isnin, 11 Zulkaedah 1349H/29 Mac 1931M. Kandungannya mengenai akidah. Cetakan pertama oleh Perkatapan, Kota Bharu, Kelantan, tanpa tahun. Cetakan Patani Press, 15 November 1937 dengan beberapa tambahan. Karya Tok Bermin yang lain ialah al-Qaul al-Mubin, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan fikah.

Datuk Haji Ahmad Ulama Brunei Darussalam

SETELAH genap 100 ulama diperkenalkan dalam ruangan Agama Utusan Malaysia, ulama yang ke-101 ditampilkan dalam artikel ini. Beliau berasal dari Banjarmasin, Indonesia tetapi menjalankan aktivitinya di Brunei Darussalam. Sangat sedikit penyelidikan yang dapat saya lakukan di Brunei, namun dalam dua kali saya mengikuti seminar sebagai pembentang kertas kerja iaitu pada 20-23 November 1995 dan 20-23 Ogos 2001, saya berhasil mengumpulkan riwayat beberapa orang ulama Brunei.

Kebanyakan riwayat adalah hasil wawancara bersama beberapa orang. Secara langsung saya juga berkesempatan pergi ke tempat-tempat yang bersejarah dan tidak dapat diketepikan melalui kajian beberapa buah buku yang diterbitkan di Brunei Darussalam. Kepada semua pihak di Brunei Darussalam yang telah menyumbang bahan-bahan yang sangat berharga, melalui mukadimah artikel ini dan artikel-artikel mengenai ulama Brunei Darussalam berikutnya, saya ucapkan ribuan terima kasih.

Sebelum memperkatakan ulama yang disebut dalam judul artikel ini, saya telah memperkenalkan beberapa ulama Brunei peringkat awal yang dimuatkan dalam buku Penyebaran Islam dan Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu jilid ke-4. Mereka yang telah didokumenkan ialah Syarif Ali, Syarif Mufaqqih al-Muqaddam, Syeikh Adam, Sulaiman Abdur Rahman dan Saiyid Abu Bakar.

Saiyid Abu Bakar adalah datuk kepada Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Dipercayai ulama Banjar yang sedang diriwayatkan ini ada hubungan dengan Saiyid Abu Bakar yang disebut itu.

Mengenai ulama yang berasal dari Banjar yang berhijrah ke Brunei, secara sepintas lalu pernah saya sentuh dan muatkan dalam buku berjudul Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari, cetakan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur pada 1990.

Beberapa penulis yang berasal dari Brunei menyebut nama ulama yang berasal dari Banjar ini ialah Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif. Nama popularnya di Brunei Datuk Haji Ahmad Banjar saja. Beliau dilahirkan di Banjarmasin, Kalimantan, selatan Indonesia.

Tarikh lahirnya belum diketahui tetapi beliau dilahirkan dalam keadaan menyalahi adat kebiasaan. Ketika ibunya, Dayang Seri Banun (sebutan di Banjar) atau Dayang Serbanun (sebutan di Brunei) meninggal dunia, anaknya masih dalam kandungan. Lazimnya manakala ibu meninggal dunia bererti anak dalam kandungan turut meninggal dunia, tetapi keajaiban telah berlaku. Beberapa bulan kemudian kedengaran suara menangis dari kubur ibu tersebut. Setelah kubur digali ternyata didapati bayi masih hidup.

Seluruh tubuhnya dalam keadaan utuh kecuali hanya sebelah tangannya dimakan ulat bersama-sama mayat ibunya. Semua yang berlaku demikian adalah dengan ‘kudrat, iradat dan ilmu Allah’ semata-mata, dan di luar daripada kemampuan manusia memikirkannya. Sesuatu yang menyalahi kejadian, menurut lazimnya dalam ilmu akidah, dinamakan ‘khariqul adah’. Sebaliknya jika seperti biasa saja dinamakan ‘sunnatullah’.

Asal usul

Pada zaman dulu hampir-hampir tidak ada ulama besar yang berasal dari Banjar yang terlepas daripada kaitan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, penyusun Sabil al-Muhtadin, yang sangat masyhur itu. Kaitan yang saya maksudkan di sini adakalanya perhubungan nasab dan adakalanya perhubungan keilmuan. Bahkan sebahagian besar kedua-duanya sekali.

Berdasarkan perjalanan sejarah dan cerita daripada pelbagai sumber, Datuk Haji Ahmad Banjar yang berhijrah ke Brunei sebagai penyebar Islam juga tidak terlepas daripada perhubungan itu. Sebelum datang ke Brunei beliau terlebih dulu telah memperoleh aliran ilmu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang turun kepada beberapa orang anak beliau. Datuk Haji Ahmad Banjar hanyalah sezaman dengan cucu-cucu ulama besar Banjar itu. Kemantapan dilanjutkan di Mekah. Beliau berguru dengan ramai ulama, antaranya Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar as-Sambasi.

Oleh kerana Datuk Haji Ahmad Banjar adalah salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, bererti kita dapat menulis sejarah yang agak panjang, lengkap, dan tahun-tahun aktiviti ulama Banjar itu berdasarkan banyak perbandingan. Barangkali sebelum ke Brunei, beliau telah diakui sebagai ulama besar di Banjar. Berdasarkan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri, tulisannya menyebut nama lengkapnya diawali dengan ‘Al-Alim Al-Allamah.

Jika kita membicarakan murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang paling terkenal ia cukup ramai. Antaranya Syeikh Nawawi al-Bantani (lahir 1230H/1814M, wafat 1314H/1896M), tetapi dalam artikel ini hanyalah dipilih yang ada hubungannya dalam persekitaran Borneo/Kalimantan. Salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Sarawak bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Nama ini serupa nama dengan ayah Datuk Haji Ahmad Banjar, kemungkinan juga ayah beliau. Tetapi tidak dapat dipastikan kerana nama datuk pada Datuk Haji Ahmad Banjar belum diketahui. Haji Abdul Lathif pernah merantau ke Pontianak dan Banjar kerana menyebarkan Islam melalui ajaran Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib as-Sambasi.

Oleh sebab kedua-duanya sama-sama belajar dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas, riwayat yang pasti bererti kedua-duanya adalah bersahabat. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Borneo/Kalimantan pula ialah Syeikh Nuruddin Tekarang. Ulama ini berasal dari selatan Filipina. Selepas belajar di Mekah dia pulang ke Sambas. Kuburnya terletak di Kampung Tekarang, Kecamatan Tebas, Kabupaten Sambas.

Muridnya Syeikh Muhammad Sa’ad daripada keturunan Sambas asli, kuburnya terletak di Kecamatan Selakau, Kabupaten Sambas. Semua ulama yang berasal dari Borneo/Kalimantan tersebut adalah ikhwan (persaudaraan) Datuk Haji Ahmad Banjar dalam Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib as-Sambasi. Riwayat yang diperoleh dari Brunei pula menyatakan Datuk Haji Ahmad Banjar bersahabat dengan ulama Brunei, Pangiran Abdul Momin bin Pangiran Sabtu (wafat 1298H/1880M). Beliau ini berasal dari Kampung Bakut Siraja Muda.

Sebagaimana pernah saya riwayatkan dalam beberapa tulisan sebelum ini, Syeikh Ahmad Khathib Sambas adalah termasuk murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam pelbagai bidang ilmu kecuali Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Tarekat itu diterima oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas daripada Syeikh Syamsuddin.

Daripada kenyataan ini bererti sanad atau salasilah keilmuan pelbagai bidang ilmu Datuk Haji Ahmad Banjar melalui Syeikh Ahmad Khathib Sambas naik kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani hingga naik kepada yang lebih atas daripadanya. Sanad atau salasilah ini pula dalam beberapa disiplin ilmu adalah sama dengan sanad atau salasilah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Selain dipastikan bahawa Datuk Haji Ahmad Banjar adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, diriwayatkan pula ketika di Mekah beliau telah belajar daripada beberapa ulama Arab yang terkenal pada zaman itu, antaranya Syeikh Utsman ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan lain-lain.

Daripada riwayat ini dapat diambil kesimpulan bahawa sama ada ilmu-ilmu yang melalui Syeikh Ahmad Khathib Sambas mahupun ilmu-ilmu yang melalui ulama-ulama Arab, semuanya adalah dalam ilmu yang dianggap selamat dari kaca mata penilaian ulama tradisional. Yang saya maksudkan di sini ialah bahawa dalam akidah tetap berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah menurut metod Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Tentang fikah tetap mengikut satu mazhab saja, iaitu Mazhab Syafie. Tentang tasawuf tetap berpedoman dan berpegang teguh dengan kitab-kitab turas tasawuf seperti karangan-karangan Imam al-Ghazali. Demikian juga pegangan tentang amalan, secara rutin tiada sekali-kali ditinggalkan amalan Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang beliau terima langsung daripada gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang sangat terkenal itu.

Pemerintahan

Tahun kedatangan Datuk Haji Ahmad Banjar di Brunei belum diketahui dengan pasti. Diriwayatkan bahawa beliau berhijrah ke Brunei pada zaman pemerintahan Sultan Brunei yang ke-24, ialah Sultan Abdul Momin yang memerintah dari tahun 1852-1885. Datuk Haji Ahmad Banjar tinggal di Kampung Burung Pingai Ayer dan di sanalah beliau menjalankan aktiviti penyebaran Islam melalui pendidikan dan dakwah.

Murid-murid beliau datang dari beberapa kampung dalam Brunei, kebanyakannya datang dari Kampung Burung Pingai, Kampung Burung Tekuruk, Kampung Lorong Dalam dan lain-lain.

Dipercayai ilmu-ilmu yang diajarkan ialah penekanan tentang fardu ain, terutama akidah, fikah Mazhab Syafie, dan tasawuf. Ilmu fardu ain yang terpenting pula ialah praktik tajwid terutama dalam bacaan al-Fatihah yang wajib dibaca dalam sembahyang. Oleh sebab Datuk Haji Ahmad Banjar termasuk salah seorang ‘Khalifah Mursyid Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah’, sekali gus beliau juga telah membaiah dan mentawajjuhkan tarekat tersebut kepada beberapa muridnya. Antara mereka yang menerima tarekat itu ialah Pehin Datu Imam Haji Mokti bin Haji Nasar.

Selain kegiatan penyebaran ilmu-ilmu Islam, Datuk Haji Ahmad Banjar juga dilantik sebagai Pengawas Perkembangan Agama Islam di Brunei Darussalam. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Kadi. Sungguhpun demikian, kemungkinan kerana waraknya, Datuk Haji Ahmad Banjar pernah menolak penganugerahan gelaran Datuk Seri Maharaja.

Oleh sebab ada hubungan pertalian kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, salah seorang cucu ulama Banjari ini ialah Haji Thasin bin Mufti Jamaluddin al-Banjari yang pergi ke Brunei dan berkahwin dengan anak Datuk Haji Ahmad Banjar yang bernama Aminah.

Hasil perkahwinan itu, mereka memperoleh anak bernama Haji Ramli. Haji Thasin bin Mufti Jamaluddin al-Banjari selain berkahwin di Brunei juga pernah bernikah di Pontianak, memperoleh beberapa orang anak. Antaranya Haji Yusuf Saigon dan Haji Muhammad Arsyad. Kedua-dua anak Haji Thasin yang di Pontianak ini adalah adik-beradik satu ayah dengan Haji Ramli di Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, saya masih belum dapat mengesan keturunan Haji Ramli bin Haji Thasin di Brunei.

Muhammad Jabir As-Sambasi Khatib Sidana Kerajaan Sambas

DALAM kerajaan Melayu yang sedemikian banyak di dunia Melayu, hanya di kerajaan Sambas di Kalimantan petugas-petugas penting kerajaan yang menangani Islam digelar ‘Maharaja Imam’, ‘Imam Maharaja’, ‘Imam’, ‘Khatib Sidana’ dan ‘Khatib’. Di antara istilah-istilah itu ada yang telah wujud sejak tahun 1186 H/1772 M.

Jawatan Maharaja Imam Sambas berakhir pada tahun 1976 iaitu setelah wafat Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Ulama ini adalah anak saudara ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini.

Diriwayatkan Imam Kerajaan Sambas yang pertama bernama Haji Mushthafa Nuruddin yang dilantik oleh Sultan Muhammad Ali Shafiyuddin (Pertama) pada tahun 1186 H/1772 M. Kira-kira 100 tahun kemudian, tepatnya pada 1289 H/1872 M barulah istilah ‘Maharaja Imam’ digunakan.

Maharaja Imam Kerajaan Sambas yang pertama ialah Maharaja Al-Imam Asy-Syeikh Muhammad Arif bin Nuruddin as-Sambasi yang dilantik oleh Sultan Muhammad Ali Shafiyuddin (Kedua). Sebelum itu, pada 1238 H/1823 M, beliau hanya digelar ‘Imam’. Disebabkan umurnya telah lanjut, beliau menyandang pangkat Maharaja Imam hanya setahun. Pada tahun 1290 H/1873 M, dilantik anak beliau bernama Syeikh Muhammad Imran bin Muhammad Arif as-Sambasi menggantikannya menjadi Maharaja Imam.

Terakhir sekali dilantik pula cucu Maharaja Imam yang pertama pada 1331 H/1913 M iaitu ialah Syeikh Muhammad Basiyuni Imran bin Maharaja Asy-Syeikh Muhammad Imran.

Serentak dengan perlantikan Syeikh Muhammad Arif bin Nuruddin as-Sambasi sebagai Maharaja Imam Sambas yang pertama pada tahun 1289 H/1872 M, pada waktu itulah dirasmikan pembangunan Masjid Jamik Sultan Sambas di persekitaran Istana Sultan Sambas di tepi sungai. Beberapa tahun selanjutnya dirangka pula pusat pendidikan Islam yang dinamakan ‘Madrasah as-Sulthaniyah’ yang terletak di sebelah kiri istana pimpinan pendidikan tersebut yang diketuai Haji Ahmad Fauzi bin Syeikh Muhammad Imran.

Beliau ini adalah adik-beradik Syeikh Muhammad Basiyuni Imran yang ketika perlantikan itu sedang belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir. Madrasah as-Sulthaniyah dibina bertujuan memberi pendidikan Islam secara mendalam sebagai pengkaderan golongan kerabat sultan, Maharaja Imam dan jalur-jalur yang berada di bawahnya. Sejarah susunan pentadbiran pengurusan Islam dalam kerajaan Sambas banyak dapat kita ketahui boleh dikatakan dalam masa hidup beliau. Kebanyakan kedudukan penting dipegang oleh keluarga beliau.

Ulama Sambas yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Khathib Haji Muhammad Jabir bin Haji Muhammad ‘Arif Maharaja Imam bin Imam Nuruddin bin Imam Mushthafa as-Sambasi. Susunan nama ini dipetik daripada buku Cahaya Suluh Pada Menyatakan Jumaat Kurang Daripada Empat Puluh oleh Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran, cetakan Mathba’ah Al-Ikhwan, Singapura, 1340 H.

Kekeluargaan

Lebih kurang 200 tahun lamanya jabatan tertinggi dan yang penting tentang Islam di Kerajaan Sambas dipegang oleh datuk nenek ulama ini hingga ke zaman beliau. Menjelang detik-detik akhir sebelum kemerdekaan Indonesia dan hapusnya Kerajaan Sambas, susunan pentadbiran Islam adalah ditangani oleh seorang ‘Maharaja Imam’ yang dilantik Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Beliau ini mendapat dua aliran pendidikan iaitu dalam pengajian Mekah dan berkelulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Yang berpangkat ‘Maharaja Imam’ hanya seorang dan di atasnya ialah Sultan Sambas sendiri. Di bawah ‘Maharaja Imam’ dilantik pula orang yang dinamakan ‘Imam Maharaja’ yang terdiri daripada beberapa orang. Semuanya dalam lingkungan terdekat keluarga ini.

Yang berpangkat Imam Maharaja ialah Haji Abdur Rahman Hamid. Beliau ini merupakan saudara sepupu dan ipar Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.

Haji Muhammad Jabir (ulama yang diriwayatkan ini) juga berpangkat Imam Maharaja sekali gus sebagai Imam Besar. Beliau ini adalah ayah saudara Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Keluarga rapat mereka pula ialah Haji Muhammad Mursal, Haji Muhammad, Haji Murtadha dan Haji Muhammad Shiddiq. Semua mereka memegang jabatan Khatib Sidana dan Khatib. Selain memegang jabatan tinggi dan penting dalam Kerajaan Sambas, keturunan mereka memainkan peranan dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.

Bahkan setelah Indonesia merdeka, keluarga ini masih mendapat tempat dalam masyarakat sama ada di Sambas sendiri mahupun hingga di Jakarta.

Saya sempat bergaul rapat dengan beberapa orang keturunan keluarga ini. Antara mereka yang banyak memberikan bahan untuk penulisan ini ialah Muhammad Hifni Imran, pejuang kemerdekaan Indonesia. Beliau ini adalah adik Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Haji Hamdi Mursal, pejuang kemerdekaan dan tokoh korporat Melayu-Islam yang berjaya di Kalimantan Barat adalah anak Imam Haji Mursal dan menantu Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran dan masih ramai lagi.

Mengenai asal usul kerajaan Sambas, ia sudah diketahui oleh para sejarawan, tetapi saya belum menemui sesuatu tulisan tentang asal usul keluarga ulama yang dibicarakan ini. Tidak diketahui dari negeri mana mereka berasal.

Apakah mereka juga berasal dari Brunei ataupun dari Banjar, ataupun dari Patani atau dari tempat-tempat lain. Walau bagaimanapun, pada tahun 1970, ketika saya menaiki sampan menyelusuri Sungai Sambas selama berjam-jam, seorang yang telah tua menceritakan kepada saya tentang ‘Keramat Lumbang’ (sebuah tempat yang terkenal di Sambas).

Riwayat

Menurut beliau, nama sebenar Keramat Lumbang itu ialah Syeikh Abdul Jalil al-Fathani. Apabila saya mendengar riwayat tersebut saya langsung teringat bahawa ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah pergi ke Sambas. Kisah ini juga ditulis oleh Prof. Dr. Abdul Jalil Hassan dalam salah satu keluaran Warta Jabatan Agama Johor.

Menurut beliau, ketika Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berada di Sambas, dia tinggal di rumah Sultan Muhammad Shafiyuddin di Kampung Parit Dalam Sambas dan sempat menyelesaikan kitab Dhiya’ al-Murid.

Saya cuba menjejaki keluarga ulama Sambas, dalam hal ini yang dinamakan keluarga ‘Imran Sambas, seperti yang tersebut di atas yang berkemungkinan ada hubung kait dengan ulama Patani itu. Setakat ini ia masih belum tahkik.

Pada satu hari Jumaat, dalam Masjid Jamik Sultan Sambas, saya sempat mewawancara Maharaja Imam Syeikh Muhammad Basiyuni Imran. Pada hari itulah setelah sembahyang Jumaat beliau mengajak orang bersembahyang ghaib. Kata beliau, “Marilah kita menghadiahkan sembahyang ghaib untuk Imam Pemangkat Tuan Haji Hasan al-Fathani. Kerana dengan meninggal dunia Tuan Imam Haji Hasan al-Fathani bererti habislah ulama Pemangkat.”

Daripada kalimat ini dapat diambil kesimpulan bahawa hingga tahun 1970, masih terdapat ulama di Sambas yang pada akhir namanya memakai istilah ‘al-Fathani’. Daripada cerita ini, saya berfikir kemungkinan keluarga ulama Sambas yang diriwayatkan ini ada kaitan dengan ulama-ulama Patani, namun dari sudut sistem salasilah susur galurnya masih gagal ditemui.

Dari segi warna kulit dan perwatakan, banyak persamaan antara keluarga ulama Sambas dengan keluarga ulama Patani yang berasal dari Kerisik, Patani.

Pendidikan awal dan asas Muhammad Jabir dipercayai daripada ayahnya sendiri, Maharaja Imam Haji Muhammad Arif. Kemudian beliau melanjutkan pendidikan di Mekah bersama beberapa orang dalam keluarga ini termasuk beberapa orang Sambas lainnya. Antara guru mereka di Mekah ialah Syeikh Abu Bakri Syatha, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Muhammad Jabir dan kawan-kawannya yang berasal dari Sambas hanya mendapat pendidikan akhir di Mekah. Setelah semua mereka pulang ke Sambas, Muhammad Basiyuni Imran memperoleh kedudukan yang lebih tinggi walaupun beliau adalah anak saudara dan murid kepada Muhammad Jabir. Ada banyak faktor yang menyebabkan itu berlaku.

Kecerdasan

Ditinjau dari aspek pendidikan ketika itu, hanya Muhammad Basiyuni Imran seorang yang memperoleh dua sistem pendidikan, pendidikan di Mekah dan pendidikan di Mesir. Ditinjau dari kecerdasan berfikir dan tangkas bergerak, Muhammad Basiyuni Imran menurut riwayat memang agak lebih daripada yang lainnya.

Sungguhpun Khatib Haji Muhammad Jabir dan yang lain-lain masih tetap berpegang menurut aliran tradisional (Kaum Tua) sedangkan anak saudara dan murid beliau Syeikh Muhammad Basiyuni Imran adalah murid Saiyid Rasyid Ridha serta dianggap seorang ‘Kaum Muda’, namun di Sambas tidak pernah terjadi ketegangan debat ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ seperti yang terjadi di Minangkabau dan tempat-tempat lain.

Menurut riwayat, sungguhpun Syeikh Muhammad Basiyuni Imran mempunyai kedudukan yang paling tinggi dengan pangkat Maharaja Imam Sambas, namun beliau sangat hormat dan menjaga supaya ayah saudaranya, Imam Haji Muhammad Jabir, tidak tersinggung atau kecil hati atas semua tindakan yang dijalankannya.

Selain itu, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran juga sedar bahawa pengetahuan tradisional telah diperoleh lebih awal daripada pendidikan ‘tajdid’ atau pembaharuan. Sungguhpun Syeikh Muhammad Basiyuni Imran seperti Syeikh Tahir Jalauddin mendapat pendidikan di Mesir, tetapi cara bergerak dan berfikir Syeikh Tahir Jalaluddin menyebarkan pembaharuan tidak ditiru oleh Syeikh Muhammad Basiyuni Imran.

Nampaknya cara bijak yang digunakan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lebih diminati oleh beliau. Sungguhpun demikian Syeikh Muhammad Basiyuni Imran ada pula caranya tersendiri. Kebijaksanaannya tidak lepas daripada pengamatan ayah saudara beliau Imam Haji Muhammad Jabir.

Beliau juga sangat berhati-hati supaya anak saudara beliau itu tetap ada keserasian dengan beliau. Jadi kedua-duanya sangat menjaga tidak memulakan sesuatu persoalan mengakibatkan pihak lain jadi tersinggung. Bertemulah dua orang ulama yang bijak menghadapi pelbagai isu antara ayah saudara dengan anak saudara, walaupun dari satu segi ada kesefahaman, dari segi yang lain ada yang tidak disepakati. Akhirnya bertemu pada satu titik kedamaian bukan sebaliknya pada titik perdebatan atau pertengkaran atau perkelahian.

Pada pandangan saya, cara itu ‘sungguh bijak’ dan ‘berakhlak mulia’. Ia sangat patut kita contohi dalam kita menghadapi kepelbagaian aliran pemikiran seperti pada zaman sekarang.

Setakat ini hanya sebuah karya Khathib Haji Muhammad Jabir yang diberi judul Risalah al-Hajji ditemui. Penulisannya selesai pada 12 Rabiulawal 1331 H. Beliau menggunakan nama Khathib Muhammad Jabir bin al-Marhum al-Imam asy-Syeikh Muhammad Arif Sambas dalam karya itu.

Dalam kalimat akhir risalah, beliau berkata: “Telah katamlah ini risalah yang kecil bicara haji dan umrah dan ziarah dengan ringkas (pendek) supaya mudah menurut sebagaimana aturan yang kebanyakan dikerjakan oleh saudara-saudara Islam sebelah tanah Jawi dari mulai ia turun dari rumah ....”

Risalah haji karya ulama Sambas tersebut yang ada pada saya ialah cetakan yang kedua, dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, No. 50 Minto Road, Singapura pada 14 Syawal 1343 H bersamaan 7 Mei 1925 M.

Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas

INDAH nian, sekiranya kira merenung dan menghayati liku-liku sejarah keperibadian ulama. Yang lalu belum tamat, disambung pula dengan ulama Sambas, Kalimantan, Indonesia dalam artikel ini. Pada 1963, ketika saya mengembara di Jawa, saya membeli buku berjudul, Mengapa Kaum Muslimin Mundur dan Mengapa Kaum Selain Mereka Maju yang diterjemah oleh K. H. Munawar Chalil daripada karya Amir Syakib Arsalan. Sejak itu nama Syeikh Muhammad Basiyuni Imran Maharaja Imam Sambas mulai terpahat pada ingatan saya.

Betapa tidak, kerana buku itu disusun adalah sebagai jawapan daripada pertanyaan ulama Sambas itu yang ditujukan kepada gurunya Saiyid Rasyid Ridha. Judul asli dalam bahasa Arab Limaza Taakhkharal Muslimun, wa limaza Taqaddama Ghairuhum? Tiga tahun kemudian, tepatnya pada 1966, di Kepulauan Riau saya mulai bergaul dengan adik ulama itu iaitu Pak Hifni Imran, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia.

Beliau pula memiliki banyak ilmu hikmat untuk berdepan dengan musuh. Pada 1968 - 1969 sebelum saya bertemu dengan Syeikh Muhammad Basiyuni Imran saya telah menemui dua orang adik beliau ialah Haji Maaz Imran, seorang ulama, dan adiknya yang bongsu Haji Muhammad Zuhdi Imran, juga ulama, ketika itu sebagai Kepala Kantor Jabatan Agama Kabupaten Sambas, Kalimantan, Indonesia. Haji Muhammad Zuhdi Imran adalah seorang yang fasih berbahasa Arab, ahli pidato dan luas pergaulan.

Sewaktu beliau melantik Penghulu-Penghulu Nikah di Kecamatan Tebas, bertempat di Kampung Tekarang, ketika itu saya sempat tidur sekatil (satu tempat tidur) dengan beliau. Setelah menyebut nama adik-beradik beliau yang sempat saya wawancara, maka sebelum membicarakan hal-hal yang lain di sini saya sebut nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Basiyuni Maharaja Imam bin Syeikh Muhammad Imran Maharaja Imam bin Syeikh Muhammad Arif Maharaja Imam bin Imam Nuruddin bin Imam Mushthafa as-Sambasi. Lahir di Sambas, Kalimantan, Indonesia pada 23 Zulhijjah 1300 H/25 Oktober 1883 M. Tarikh wafat 29 Rejab 1396 H/26 Julai 1976 M.

Pada satu hari Jumaat, tahun 1970, saya berdua dengan Pak Abdul Ghani, waktu Dhuha, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran seorang dirinya saja, rupanya ulama besar Sambas tersebut telah berada dalam Masjid Jamik Sultan Sambas. Ketika itu beliau duduk mentelaah kitab. Kami berdua terpaku, kagum, sukar menjelaskannya dalam artikel ini. Sungguh hebat dan berwibawa caranya duduk, caranya berpakaian, semuanya menarik.

Ketika itu umur beliau hampir 90 tahun, namun wajahnya berseri-seri apatah lagi kulit beliau putih kekuningan langsat menghiasi susuk tubuh yang berjubah putih, kepala dililit dengan serban, semuanya dengan rapi dan bersih. Melihat kami datang beliaulah yang terlebih dahulu mengucapkan salam. Setelah berkenalan sejenak kami berdua mohon beliau membaca kitab yang ada di tangannya, kerana kami ingin mengambil berkat. Walau pun yang mendengar hanya kami berdua beliau tidak keberatan memenuhi permintaan kami.

Lafaz Arabnya beliau baca, langsung diterjemah dan ditafsirkannya ke bahasa Melayu Sambas. Menjelang Jumaat orang bertambah ramai sehingga azan barulah beliau berhenti membaca kitab. Syeikh Muhammad Basiyuni Imran juga menjadi imam Jumaat pada hari itu, bertambahlah kagum saya terhadap ulama Sambas tersebut, kerana bukan parasnya saja yang cantik, rupanya suara dan bacaannya sangat merdu dan sedap didengar telinga. Tidak dapat saya bayangkan, kerana hingga saya menulis artikel ini apabila saya teringat peristiwa yang bersejarah ini masih terkesan dan tercari-cari bunyi bacaan yang demikian itu. Padahal saya pernah menjadi makmum sembahyang Jumaat mengikut Syeikh Muhammad Basiyuni Imran hanya dua kali. Yang sekali lagi di Masjid Gang Wan Sagaf Pontianak.

Baik pertemuan yang pertama di Sambas mahu pun yang kedua di Pontianak bagi saya memang ada kesan yang tersendiri. Yang saya ceritakan ini adalah yang sebenarnya bukan atas ketaksuban. Haji Agus Salim, Buya Hamka dan Prof. Dr. Kahar Muzakkir, ketiga-tiganya orang-orang yang hebat belaka, mereka mengakui ketinggian ilmu yang dimiliki oleh ulama Sambas tersebut. (Lihat Riwayat Hidup dan Perjuangan Maharaja Imam Sambas, oleh Machrus Effendy, P.T Dian Kemilau, Jakarta, 1995, hlm. 16.)

Pendidikan

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran mendapat pendidikan awal dan asas selama 10 tahun dari ayahnya sendiri, Maharaja Imam Muhammad Imran dan ayah saudaranya Khathib Muhammad Jabir. Ayah dan ayah saudaranya itu adalah anak ulama besar Maharaja Imam Sambas yang pertama, ialah Haji Muhammad Arif. Sejak Muhammad Basiyuni dilahirkan ayahnya telah ada firasat berdasarkan tanda-tanda, bahawa anak yang dilahirkan itulah yang akan meneruskan riwayat datuk neneknya yang menjadi ulama dalam kerajaan Sambas. Oleh hal yang demikian itulah kedua adik beradik tersebut tidak melalaikan diri memberi pendidikan khusus tentang ilmu-ilmu Islam selama sepuluh tahun kepada Muhammad Basiyuni.

Syeikh Muhammad Basiyuni Imran melanjutkan pendidikan di Mekah tahun 1320 H/1902 M hingga tahun 1325 H/akhir tahun 1907 M. Ramai gurunya di Mekah di antaranya termasuk Syeikh Ahmad Khathib al-Minankabawi dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti Syeikh Muhammad Basiyuni Imran sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lima tahun saja. Keberangkatan beliau belajar di Mesir adalah setelah kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani, 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M, riwayat ini hampir sama dengan kisah Tok Kenali pulang ke Kelantan dan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli pulang ke Minangkabau dalam tahun yang sama. Syeikh Muhammad Basiyuni Imran masuk Universiti Al-Azhar, Mesir agak kemudian dari Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi dan Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Hanya dua tahun saja Syeikh Muhammad Basiyuni Imran belajar di Universiti Al-Azhar, iaitu dari 1327 H/1909 M hingga 1329 H/1911 M. Setelah itu selama setahun, 1330 H/1912 M, melanjutkan pelajaran di Madrasah Darud Da'wah wal Irsyad, iaitu pendidikan yang diasaskan oleh Saiyid Muhammad Rasyid Ridha.

Setakat ini karya Syeikh Muhammad Basiyuni Imran yang ada dalam simpanan saya hanya sembilan judul. Sungguhpun demikian belum dijumpai karya ulama yang berasal dari Sambas lebih banyak daripada karya beliau. Jadi bererti Syeikh Muhammad Basiyuni Imran adalah ulama Sambas yang terbanyak menghasilkan karangan. Senarai karya Syeikh Muhammad Basiyuni Imran ialah:

1. Bidayatut Tauhid fi 'Ilmit Tauhid, diselesaikan di Sambas, hari Rabu, 13 Jamadil Akhir 1336 H/27 Mac 1918 M. Membicarakan akidah merupakan petikan dari kitab Al-Jawahir al-Kalamiyah oleh al-'Allamah asy-Syeikh Thahir al-Jazairi, kitab Kalimah at-Tauhid oleh al-'Allamah asy-Syeikh Husein Wali al-Mashri dan kitab Kifayah al-'Awam. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, awal Muharam 1344 H.

2. Cahaya Suluh Pada Menyatakan Jumaat Kurang Daripada Empat Puluh, diselesaikan di rumah penulisnya, Kampung Dagang Hulu Sambas, maghrib, malam jumaat, 2 Safar 1339 H/14 Oktober 1920 M. Kandungan membicarakan pertikaian pendapat (khilafiyah) tentang syarat-syarat mendirikan sembahyang jumaat. Membahas tentang mengulang sembahyang Zuhur sesudah sembahyang jumaat (sembahyang mu'adah), dll. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ikhwan, 74 Arab Street, Singapura, 1340 H.

3. Tazkir Sabilin Najah fi Tarkis Shalah, judul dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya ialah Jalan Kelepasan Pada Mengingati Orang Yang Meninggalkan Sembahyang, diselesaikan di Sambas, hari rabu, 9 Rabiulakhir 1349 H/3 September 1930 M. Setelah tamat pada bahagian akhir ditambah pula terjemahan tulisan Saiyid Muhammad Rasyid Ridha yang terdapat dalam Al-Manar, juzuk yang pertama daripada majalah 31. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura.

4. Khulashatus Siratil Muhammadiyah disebut dengan judul yang lain Haqiqat Seruan Islam, diselesaikan 20 Jamadilakhir 1349 H/11November 1930 M. Terjemahan karya Saiyid Muhammad Rasyid Ridha tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w., cetakan yang pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1351 H/1932 M.

5. Husnul Jawab 'an Itsbatil Ahillati bil Hisab diselesaikan pada 6 Ramadan 1352 H/23 Disember 1933 M. Membicarakan hisab anak bulan untuk melakukan puasa dan hari raya. Dicetak oleh Maktabah az-Zainiyah, Penang, 1938. Diberi Kata Pengantar oleh Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi.

6. Irsyadul Ghilman ila Adabi Tilawatil Quran diselesaikan hari Ahad, 5 Syawal 1352 H/21 Januari 1934 M. Membicarakan persekitaran pembacaan al-Quran. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 15 Zulhijjah 1352 H/31 Mac 1934 M.

7. Durusut Tauhid As-Saiyid Muhammad Rasyid, diselesaikan pagi jumaat, 20 Rejab 1354 H/18 Oktober 1935 M. Membicarakan ilmu akidah merupakan terjemahan dari karangan gurunya Saiyid Muhammad Rasyid Ridha. Pada mukadimah, Syeikh Muhammad Basiyuni Imran menceritakan riwayat ringkasnya. Bahawa antara tahun 1329 H/1911 M - 1330 H/1912 M, beliau belajar di Madrasah Darud Da'wah wal Irsyad yang didirikan oleh Saiyid Muhammad Rasyid Ridha. Beliau telah belajar langsung kepada ulama tokoh tajdid itu. Salah satu sebab menterjemah karya gurunya itu setelah dapat berita gurunya meninggal dunia. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

8. Nurus Siraj fi Qishshatil Isra' wal Mi'raj, diselesaikan sesudah sembahyang jumaat, 23 Jamadilakhir 1357 H/19 Ogos 1938 M. Membicarakan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

9. Khutbah Jumaat, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha Dan Gerhana. Membicarakan Khutbah Jumaat dan kedua-dua hari raya semuanya ditulis dalam bahasa Arab dan khutbah gerhana ditulis dalam bahasa Melayu. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, tanpa dinyatakan tarikh.

Pandangan

Mukadimah artikel ini dimulai dengan kenyataan Islam dikatakan mundur atau terkebelakang daripada umat lainnya, demikianlah yang dipercakapkan oleh ramai orang Islam sendiri hingga sekarang. Saya mempunyai pandangan sebaliknya bahawa umat Islam adalah maju daripada umat lainnya.

Yang saya maksudkan ialah bahawa seseorang yang ditakdirkan lahir dalam Islam bererti sudah kurniaan Allah yang paling besar dan berharga. Setelah dipeliharanya Islam dan beriman ia dapat menilai dan memilih kemajuan mana yang diredai Allah atau dikutuk, bererti ia akan lebih maju lagi. Kemajuan tidak dapat diukur dengan teknologi saja. Seseorang peribadi atau sesuatu bangsa yang dikatakan maju membuat senjata pembunuh sesama manusia dan perosak seluruh alam bererti biadab dan mundur ke belakang kerana kembali ke zaman primitif.

Oleh itu ditinjau dari segi moral, umat Islam adalah jauh maju ke hadapan dalam semua zaman dulu, kini dan akan datang. Orang Islam yang mundur hanyalah penyokong-penyokong kebiadaban yang dilakukan oleh manusia-manusia biadab.

Pehin Datu Imam Haji Mokti imam terkenal Brunei

GAJAH mati meninggalkan gading, manusia bijak mati mengukir nama dalam suratan sejarah. Sejuta murid yang tidak dapat meneruskan perjuangan seorang guru adalah kurang bermanfaat. Cukup seorang murid, sekiranya ilmu dapat disebarkan dan sambung bersambung daripadanya kepada generasi berikutnya.

Dalam sejarah ramai ulama yang dapat memenuhi kategori dalam kalimat selayang pandang di atas, termasuk Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif, ulama Banjar di Brunei Darussalam yang telah diperkenalkan dalam halaman agama Utusan Malaysia Isnin lalu.

Pada terbitan hari ini diperkenalkan pula murid beliau, anak jati Brunei, yang nama lengkapnya Pehin Datu Imam Haji Mokti bin Nasar. Beliau dilahirkan di Kampung Burung Pingai Ayer pada tahun 1281 H/1864 M. Wafat tahun 1365 H/1946 M. Memperhatikan tahun kelahiran ini, bererti Imam Haji Mokti tahun kelahirannya sama dengan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab Sarawak yang juga lahir tahun 1281 H/1864 M.

Jika kita bandingkan dengan ulama dunia Melayu lainnya, bererti Imam Haji Mokti lebih muda sedikit daripada Tuan Husein Kedah yang lahir pada tahun 1280 H/1863 M dan Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Kudus, yang lahir pada tahun 1280 H/ 1863 M.

Daripada perbandingan tahun kelahiran para ulama dunia Melayu yang mendapat pendidikan di Mekah di atas, dengan pasti kita dapat menjejaki para guru Imam Haji Mokti di Mekah, iaitu guru beliau selain Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar seperti yang telah disebut di atas.

Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas susunan Simat bin Angas, Suhaili bin Haji Hassan dan Ismail bin Haji Ibrahim dari Unit Penyelidikan, Bahagian Sejarah/Epigrafi Jabatan Muzium Brunei, Bil. 23, tahun 1992, hlm. 38, tercatat, “Selain daripada itu Pehin Datu Imam Haji Mokti juga pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas, seorang ulama dan tokoh agama yang terkenal dari Indonesia. Pehin itu belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya....”

Walaupun dalam kalimat ini tidak dinyatakan di mana Imam Haji Mokti bertemu dan belajar daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, namun dapat dipastikan ia adalah di Mekah kerana Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak pernah pulang ke Sambas. Juga beliau tidak pernah berkunjung ke tempat-tempat lain di Indonesia ataupun tempat-tempat lain di dunia Melayu.

Cerita Imam Haji Mokti dikatakan ‘pernah berguru dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas’ dan ‘belajar Tarekat Qadiriyah daripadanya’ perlu dikaji kembali kerana dalam beberapa riwayat ulama yang seangkatan dengan Imam Haji Mokti tidak berkesempatan belajar secara langsung dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

Mereka hanya belajar melalui ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’. Sebagai contoh Imam Haji Mokti belajar dengan Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar. Ulama yang berasal dari Banjar ini termasuk salah seorang ‘Khalifah Syeikh Ahmad Khathib Sambas’.

Dalam buku saya yang berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu‘tabarah di Dunia Melayu, telah saya sebut beberapa orang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Daripada sekian ramai murid beliau ada yang menjadi ‘Mursyid’ dan dilantik menjadi ‘Khalifah Qadiriyah-Naqsyabandiyah’. Sebagai contoh, ulama yang berasal dari Sarawak bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak pernah merantau ke Pontianak, Banjar, Brunei, bahkan di seluruh Borneo/Kalimantan. Oleh sebab kedua-dua Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif Banjar dan Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, bererti kedua-duanya adalah bersahabat. Imam Haji Mokti Brunei berkali-kali datang ke Pontianak dan pernah dibaiah dan ditawajjuh oleh Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak.

Selain itu, Imam Haji Mokti Brunei juga ada hubungan dengan beberapa murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berada di Sambas, yang juga dikategorikan sebagai ‘Mursyid’. Mereka ialah Syeikh Nuruddin Tekarang, Syeikh Muhammad Sa’ad dan lain-lain. Syeikh Nuruddin Tekarang berasal dari selatan Filipina. Setelah belajar di Mekah, dia pulang ke Sambas dan meninggal pada tahun 1312 H/1894 M. Kuburnya terletak di Kampung Tekarang, Kecamatan Tebas, Kabupaten Sambas.

Saya telah tiga kali menziarahi makam ulama tersebut, selain mencatat data-data sejarah sekali gus memenuhi disiplin ilmu tarekat sufiyah bahawa seseorang ‘Syeikh Mursyid’ sangat penting diziarahi sama ada ketika masih hidup mahupun setelah mereka meninggal dunia. Syeikh Nuruddin Tekarang termasuk juga salah seorang guru Imam Haji Mokti Brunei.

Menurut riwayat, ulama jati Brunei itu berkali-kali menziarahi Syeikh Nuruddin Tekarang ketika beliau masih hidup dan juga menziarahi makamnya setelah ulama berasal dari selatan Filipina itu meninggal dunia.

Diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei adalah murid Syeikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani, ulama ini termasuk ulama Borneo/Kalimantan yang banyak menghasilkan karangan. Ulama ini adalah murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Daripada maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa Imam Haji Mokti Brunei ada hubungan keilmuan atau sanad kepada ulama-ulama yang berasal dari Patani.

Selama lebih kurang empat tahun tinggal di Mekah, diriwayatkan pula bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga pernah belajar dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, pengarang Mathla’ al-Badrain, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Wan ‘Ali bin ‘Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, pengarang al-Jauhar al-Mauhub, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau, dan lain-lain termasuk juga ulama bangsa Arab.

Setelah pulang daripada perantauan Imam Haji Mokti Brunei mula aktif menyebarkan agama Islam. Sebagaimana ulama tradisional lainnya pelajaran yang ditekankan ialah tajwid al-Quran, akidah atau tauhid, fiqh Mazhab Syafie dan tasawuf. Tentang tarekat shufiyah, Imam Haji Mokti Brunei sempat membai’ah dan mentawajjuhkan Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah kepada beberapa orang muridnya, di antaranya ialah Haji Muhammad bin Haji Minuddin.

Murid Imam Haji Mokti Brunei memang ramai. Dalam beberapa disiplin ilmu yang disebut, beberapa orang pembesar Brunei, bahkan Sultan Brunei juga sempat belajar dengan beliau. Antaranya Sultan Muhammad Jamalul Alam, Sultan Haji Omar Ali III, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Awang Haji Umar bin Randah dan lain-lain.

Disebut dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas bahawa Imam Haji Mokti Brunei selain mengajar dan berdakwah di Kampung Burung Pingai juga berdakwah di kampung-kampung pedalaman seperti Kampung Pudak, Pulau Berbunut dan Labu Estate di Daerah Temburong. Beliau juga mengajar dan berdakwah hingga ke Padas di Sabah.

Dalam buku yang sama juga disebutkan bahawa Imam Haji Mokti Brunei pernah merantau ke Marudi dan Baram di Sarawak dan Sambas, Kalimantan Barat. Apabila disebutkan Baram, saya teringat barangkali di sana pernah ada beberapa orang ulama kerana pada zaman yang sama dengan Imam Haji Mokti Brunei pernah ditulis sebuah kitab berjudul Hidayah li al-Walad al-Walad. Pengarangnya bernama Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus. Beliau menyebut bahawa kitab tersebut diselesaikan pada 15 Rabiulawal, hari Sabtu, 1343 H di negeri Baram.

Kekerapan Imam Haji Mokti Brunei berkunjung ke Baram di Sarawak itu dipercayai ada hubungan antara beliau dengan Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, tetapi masih belum dapat dipastikan siapakah yang menjadi guru ataupun menjadi murid ataupun kedua-duanya hanya bersahabat.

Dengan maklumat ini, sama ada untuk menyelidiki sejarah Imam Haji Mokti Brunei mahupun Saiyid Manshur bin Saiyid Abu Bakar al-‘Aidrus Baram, seseorang diperlukan turun ke lokasi iaitu Baram di Sarawak.

Selain mengajar, Imam Haji Mokti Brunei dipercayai juga menghasilkan karya bertulis. Dalam buku Tokoh-Tokoh Agama di Brunei Darussalam: Pengenalan Ringkas dicatatkan ada empat naskhah tulisan tangan iaitu:

1. Doa-doa dan fatwa-fatwa amalan serta faedah ubat-ubatan. Khusus pada perkataan ‘faedah ubat-ubatan’, dari sini dapat kita ketahui bahawa Imam Haji Mokti Brunei juga adalah seorang peminat bidang itu. Mengenai ini perlu penyelidikan lebih lanjut, kepada siapakah beliau belajar ilmu perubatan itu? Sekiranya beliau belajar ilmu perubatan di Mekah daripada ulama Melayu, jelas pada zaman itu hanya Syeikh Ahmad al-Fathani seorang saja mengajar ilmu tersebut. Tidak ramai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dalam bidang ilmu perubatan jika kita bandingkan dengan ilmu-ilmu lainnya.

2. Salasilah Tarekat Qadiriyah yang dimulai dari beliau naik kepada Datuk Haji Ahmad bin Abdul Lathif Banjar, naik kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan seterusnya sama dengan yang termaktub dalam Fat-h al-'Arifin yang telah berulang-ulang kali diterbitkan.

3. Catatan kejadian wabak cacar di Brunei Darussalam pada tahun 1290 H dan tahun 1322 H.

4. Riwayat dan nasihat Luqman al-Hakim berserta ulasan beliau.

Dalam artikel ini saya sebutkan tentang ziarah ke makam. Oleh sebab dalam perkembangan mutakhir tentang Islam di dunia Melayu ada golongan yang membidaah dan mengkhurafatkannya, maka dirasa perlu saya memberi sedikit ulasan dan pandangan. Saya mengakui dalam konteks ziarah makam atau kubur ada yang mengikut syarak dan ada pula terkeluar daripada ajaran Islam. Ini adalah berdasarkan pengetahuan seseorang yang melaksanakan ziarah itu.

Ziarah ke makam atau kubur yang betul menurut syarak sekurang-kurangnya ada dua disiplin. Disiplin secara umum ialah dengan mengucapkan salam dan membaca surah al-Ikhlas 11 kali, atau lainnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.. Disiplin khusus yang dilakukan oleh golongan ahli sufi, ziarah makam atau kubur golongan ini mempunyai adab-adab yang tersendiri.

Upacara ziarah makam atau kubur kenegaraan yang dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia sekarang ini, termasuk negara-negara yang dipimpin oleh orang-orang Islam, didominasi oleh adab-adab yang bukan daripada ajaran syariat Islam.

Sebagai contoh, menghadap ke makam atau kubur dengan berdiri, menghentakkan kaki kemudian hormat kepada makam atau kubur dengan mengangkat tangan kanan dan lain-lain.

Yang saya sebutkan di atas adalah sebagai contoh saja. Walau bagaimanapun saya berpandangan dan berpendirian bahawa disiplin apa pun juga yang kita jalankan perlulah kembali kepada yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Sesuatu perlaksanaan duniawi yang bertentangan dengan syariat Islam adalah wajib ditinggalkan. Apa jua bentuk kedurjanaan terhadap Allah dan Rasul-Nya marilah kita cuba mengurangkannya, dan selanjutnya berusaha menghapuskannya sama sekali.

Tok Syeikh Duyung syeikhul ulama Terengganu

PADA tarikh 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu telah berlangsung Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara. Majlis itu dihadiri 1,500 orang. Pada keesokan harinya di dewan yang sama berlangsung pula Peringatan 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani yang diberi judul ‘Ulama Bermesra Sultan dan Rakyat (Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Sultan Zainal Abidin III)’.

Peringatan ini adalah atas kerjasama pihak KUSZA dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Saya telah diberi kesempatan memberi ceramah di beberapa tempat di Terengganu yang diatur oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Saya dan PENGKAJI terhutang budi atas kerjasama pihak KUSZA dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Kami mengucapkan jutaan terima kasih. Selama seminggu di Terengganu saya berkesempatan menziarahi beberapa makam ulama yang bersejarah di Terengganu dan mewawancara beberapa orang.

Wawancara itu bukanlah yang pertama kali di Terengganu, tetapi adalah lanjutan wawancara yang pernah dijalankan tahun 1976. Ulama Terengganu tidak dapat dipisahkan dengan ulama Patani, termasuk yang diriwayatkan ini, yang digelar orang ‘Tok Syeikh Duyung’.

Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin bin Ya’qub al-Fathani. Lahir di Cabang Tiga, Patani, tahun 1216 H/1802 M, Allahyarham wafat pada hari Khamis, pukul 4.00 petang, 12 Jamadilakhir 1306 H/24 Februari 1889 M.

Saya terkenang kembali hasil wawancara saya di Terengganu pada tahun 1976, terutama dengan Datuk Sansura Pahlawan, tentang nama ‘Duyung’. Ia mengingatkan saya bahawa Pulau Duyung Kecil menjadi tempat keluarga besar ulama Patani berhijrah akibat perang dengan Siam. Di antara yang berhijrah ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ulama yang banyak menulis kitab yang sangat terkenal itu. Yang digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ yang lebih awal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang kemudian lebih dikenali dengan panggilan ‘Tok Syeikh Bukit Bayas’.

Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin digelar ‘Tok Syeikh Duyung’ kemungkinan kemudian daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Ketiga-tiga ulama yang saya sebutkan iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas dan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin Duyung adalah masih dalam satu lingkungan keluarga yang dekat.

Nama ayahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Amin al-Fathani yang digelar dengan ‘Tok Syeikh Qadhi al-Fathani’. Beliau pula ialah anak Wan Ya’qub al-Fathani. Hanya sampai kepada Wan Ya’qub saja nasab dari sebelah ayahnya dapat dikesan. Ibu Tok Syeikh Qadhi (Syeikh Wan Muhammad Amin) bernama Wan Salamah binti Tok Wan Deraud bin Cik Wan Derahim yang kahwin dengan Tok Wan Nik. Ibu Tok Wan Nik ini bernama Wan Dewi binti Tok Kaya Rakna Diraja bin Syeikh Faqih Ali al-Malabari.

Ibu Tok Syeikh Duyung (Syeikh Wan Abdullah) bernama Wan Aminah binti Tok Wan Drahmad bin Tok Wan Derahman bin Tok Kaya Pandak. Tok Kaya Pandak ini nama sebenarnya ialah Wan Ismail bin Nakhoda Wan Kang daripada perkahwinan dengan puteri Laksamana Johor.

Nakhoda Wan Kang yang dimaksudkan di sini adalah nama gelar pada Syeikh Faqih Ali al-Malabari. Ada riwayat menyebut bahawa beliau ini adalah seorang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. yang berhijrah ke Malabar (India) dan selanjutnya berhijrah ke dunia Melayu.

Berkahwin

Riwayat yang lain menyebut bahawa beliau berasal dari negeri Bugis. Syeikh Faqih Ali al-Malabari atau Nik Ali atau Saiyid Ali pertama sampai di Johor telah berkahwin dengan puteri Johor bernama Wan Tijah. Mastautin atau tempat tinggal terakhir Syeikh Faqih Ali al-Malabari ialah di Patani.

Keturunan beliau selain menjadi ulama seumpama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Tok Syeikh Bukit Bayas dan lain-lain, termasuk juga tokoh-tokoh kerajaan seumpama Long Yunus Kelantan.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani (Syeikh Wan Muhammad Amin) adalah seorang ulama yang seangkatan dan sahabat dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) ketiga-tiganya adalah ulama besar. Oleh itu Wan Abdullah mendapat pendidikan daripada Tok Syeikh Qadhi al-Fathani, iaitu ayahnya sendiri yang ketika itu tinggal di Kampung Paya Bunga.

Pada masa yang sama Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin bersahabat dengan Saiyid Muhammad Zainal Abidin (Tukku Tuan Besar) dan selanjutnya belajar dengan Syeikh Wan Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani yang pada ketika itu tinggal di Bukit Bayas.

Tok Syeikh Qadhi al-Fathani dan Tok Syeikh Bukit Bayas kedua-duanya mendapat kedudukan yang tinggi pada zaman pemerintahan Sultan Omar Terengganu, bahkan kedua-duanya termasuk guru baginda.

Selanjutnya pelajaran dilanjutkan di Mekah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam masa yang sama sekurang-kurangnya ada tiga orang yang berasal dari Terengganu yang belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian menjadi ulama besar yang terkenal. Mereka ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin, Saiyid Muhammad Zainal Abidin dan Syeikh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu.

Ulama nama yang terakhir ini diriwayatkan berasal dari Kemaman, Terengganu. Beliau merupakan tokoh besar yang menulis salinan karya-karya ulama dunia Melayu. Jumlah manuskrip salinannya seimbang dengan salinan Tok Kelaba yang datang kemudian daripada beliau. Hingga kini belum dijumpai ulama dunia Melayu yang menyalin manuskrip Melayu lebih banyak daripada kedua-duanya.

Setelah pulang dari Mekah pada tahun 1263 H/1846 M, Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin mengambil tempat kedudukan dan pusat aktivitinya di Pulau Duyung Kecil Terengganu. Selain mengajar di Pulau Duyung Kecil, beliau juga mengajar di beberapa tempat di antaranya Paloh, Losong dan Bukit Bayas.

Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin (Tok Syeikh Duyung) seperti ulama-ulama Patani lain tetap mengajar dua jenis kitab, iaitu yang berbahasa Melayu dan berbahasa Arab. Kitab-kitab bahasa Melayu yang diajarkan diutamakan karangan gurunya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kitab-kitab bahasa Arab yang diajarkan adalah karangan ulama-ulama yang terkenal dalam pelbagai disiplin ilmu. Yang paling diutamakan dalam tasawuf ialah Ihya’ ‘Ulumid Din oleh Imam al-Ghazali

Murid Tok Syeikh Duyung sangat ramai, termasuk yang datang dari luar Terengganu. Ada yang datang dari Patani, seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Brunei, Kalimantan dan lain-lain.

Di antara murid Tok Syeikh Duyung yang menjadi ulama besar lagi terkenal ialah Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Tukku Paloh dan Haji Wan Muhammad (anak beliau sendiri) yang pernah menjadi Mufti Terengganu setelah Tok Syeikh Duyung wafat. Di kalangan Sultan Terengganu yang pernah menjadi murid Tok Syeikh Duyung ialah Sultan Omar dan Sultan Zainal Abidin III.

Baginda Sultan Omar telah melantik Syeikh Muhammad Amin al-Fathani (Tok Syeikh Qadhi) menjadi seorang pembesar negeri. Pada masa pemerintahan Sultan Terengganu itu anak Tok Syeikh Qadhi yang bernama Haji Wan Abdullah (Tok Syeikh Duyung) telah dilantik menjadi kadi, sekali gus menjadi penasihat kepada Baginda Sultan Omar.

Pada waktu yang sama gurunya Tok Syeikh Bukit Bayas menjadi mufti. Selanjutnya setelah gurunya itu wafat, Tok Syeikh Duyung dilantik menjadi Mufti Terengganu mulai tahun 1269 H/1853 M hingga beliau wafat pada tahun 1306 H/1889 M.

Sewaktu berlaku Pemberontakan Besut pada 1874, Sultan Omar telah menugaskan Tok Syeikh Duyung ke Kelantan dengan tujuan supaya Sultan Kelantan menghentikan bantuan kepada pemberontakan itu.

Tok Syeikh Duyung bersama-sama anak beliau Haji Wan Muhammad Wan Abdul Qadir dan angkatan kebesaran yang membawa perutusan berangkat ke Kelantan dengan menaiki gajah. Menurut riwayat, perundingan antara Tok Syeikh Duyung dengan Sultan Kelantan mendatangkan hasil yang memuaskan.

Daripada riwayat itu, dapat disimpulkan bagaimana bijaknya seorang ulama menangani sesuatu isu yang besar sehingga seseorang sultan dapat menerima buah fikirannya seterusnya peperangan terhenti dan perdamaian diperoleh.

Riwayat itu pula adalah bukti iaitu Sultan Terengganu mahupun Sultan Kelantan ketika itu terpaksa akur dan patuh atas besarnya kewibawaan seorang ulama yang bergelar Tok Syeikh Duyung. Riwayat ini pula adalah sebagai bukti karamah Tok Syeikh Duyung. Menurut cerita, sesiapa sahaja yang berjumpa dengan beliau, sama ada disengaja ataupun tidak, akan terpahat pada hati memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat.

Tok Syeikh Duyung selain berwibawa dan dihormati oleh Sultan Omar (Sultan Terengganu) dan Sultan Kelantan, beliau sangat berkesan pada hati seorang muridnya yang menjadi Sultan Terengganu berikutnya, iaitu Sultan Zainal Abidin III. Tok Syeikh Duyung pula sangat kasih kepada muridnya itu sama ada sebelum menjadi sultan mahupun sesudahnya.

Tambatan kasih sayang daripada guru kepada murid atau sebaliknya daripada murid kepada guru dalam istilah tasawuf dinamakan dengan ‘rabithah’. Rabithah yang dimaksudkan telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. terhadap para sahabatnya dan sebaliknya.

Sembahyang hajat

Maksud perkataan Saidina Abu Bakar as-Siddiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.: “Aku kasih dalam dunia tiga perkara, duduk bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w., membelanjakan hartaku untuk Nabi Muhammad s.a.w. dan mengucapkan selawat atas Nabi Muhammad s.a.w.”

Oleh itu sewaktu pertabalan Sultan Zainal Abidin III menjadi Sultan Terengganu pada 18 Disember 1881, Tok Syeikh Duyung telah melakukan sembahyang hajat dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk keselamatan Sultan Zainal Abidin III, semua rakyat dan kerajaan yang di bawah pemerintahan baginda.

Sesuatu pemerintahan Islam akan selamat apabila penguasa tertingginya dapat bekerjasama dengan ulama. Ulama yang membawa selamat dan berkat ialah ulama yang dapat memberi nasihat kepada pemerintah, berani berkata benar walaupun terhadap penguasa yang zalim.

Sesuatu pemerintahan Islam dan rakyat akan binasa apabila para ulamanya tidak berani memberi nasihat yang benar kepada pemerintah. Sesuatu pemerintahan Islam akan lebih binasa apabila pemerintahnya memusuhi ulama yang berani berkata benar seperti yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Syeikh Muhammad Salleh putera penerus warisan Tok Kenali

SATU ucapan yang berupa wasiat ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, untuk saya: “Setelah kamu merantau di bahagian Barat Indonesia, mestilah terima ilmu daripada berbagai-bagai orang, sesudah itu tutuplah di Kota Bharu, Kelantan. Di sana cari keturunan Tok Wan Ali Kutan, Tok Kenali dan Nik Mahmud. Tok Wan Ali Kutan adalah ayah saudara ayahku. Tok Kenali dan Nik Mahmud adalah murid ayahku. Keturunan mereka ada yang menjadi ulama, ada yang kaya dan menjadi pembesar. Hendaklah ingat yang golongan ulama mudah kamu gauli tetapi orang kaya dan pembesar sukar kamu dekati kecuali setelah kamu banyak pengalaman. Adab bergaul dengan ulama adalah berbeza dengan adab bergaul dengan orang kaya dan pembesar.”

Pada tahun 1970, saya sampai ke Kota Bharu. Tanpa disedari wang yang tinggal hanya RM1.20. Baju sehelai, celana sehelai dan kain sehelai bukanlah menjadi penghalang untuk saya menyambung silaturahim, mencari ilmu dan menjalankan penyelidikan. Saya utamakan menziarahi makam Tok Kenali, berjalan seorang diri dari Kota Bharu ke Kampung Kenali. Ketika membaca doa di makam Tok Kenali, terlintas di hati, “Ya Allah, sekiranya betul Tok Kenali adalah murid datukku Syeikh Ahmad al-Fathani, dan kedua-dua ulama yang engkau redai, berilah pertolongan kepadaku menjalankan tugas mengumpul dan memperkenalkan ulama di dunia Melayu ini, mulai sekarang dan sepanjang hayatku.”

Selepas ke makam Tok Kenali saya terus mencari rumah Abdullah Al-Qari, penyusun buku Sejarah Hidup Tok Kenali. Beliaulah yang memperkenalkan saya kepada Tuan Guru Haji Ahmad (anak sulung Tok Kenali). Beliau meminta saya menyampaikan ceramah di surau Kampung Kenali, tetapi saya minta tangguh dua malam berikutnya. Ceramah itu merupakan ceramah saya yang pertama di Kota Bharu, Kelantan.

Pada 1979 di Mekah al-Mukarramah, saya menziarah pula anak Tok Kenali yang bernama Syeikh Muhammad Salleh. Di Dar al-Ishlah tempat Syeikh Muhammad Salleh menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan dan dakwah, beliau telah mempersilakan saya memberi ceramah. Tamat ceramah, beliau memperkenalkan saya kepada jemaah di Dar al-Ishlah itu, sekali gus beliau meminta kepada jemaah supaya ketika wukuf di Arafah pada tahun 1979 mereka mendoakan khusus untuk saya agar berjaya dalam kerja-kerja penyelidikan dan mendokumentasi seluruh aspek sejarah ulama dunia Melayu.

Saya berkeyakinan bahawa doa jemaah di Dar al-Ishlah pada malam ceramah dan di Arafah tahun itu yang disarankan oleh Syeikh Muhammad Salleh, anak Tok Kenali itu dikabulkan Allah. Barangkali salah satu kesan kabulnya dapat dibuktikan dengan ruangan riwayat ulama berhasil diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia yang anda ikuti sekarang.

Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali adalah ulama yang ke-106 dalam siri terbitan ini. Beliau lahir di Kampung Kenali, Kelantan tahun 1329 H/1911 M dan wafat di Mekah pada subuh Jumaat 22 Ramadan 1404 H/22 Jun 1984 M.

Sebagaimana abangnya yang sulung, Tuan Guru Haji Ahmad, demikian halnya Syeikh Muhammad Salleh, kedua-duanya mendapat pendidikan dan berkat ilmu daripada ayahnya, Tok Kenali, di Kelantan.

Syeikh Muhammad Salleh melanjutkan pelajaran di Mekah selama lebih 20 tahun. Beliau belajar dengan ramai ulama sama ada ulama-ulama bangsa Arab mahupun ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu.

Menurut riwayat, sebelum berhijrah ke Mekah, beliau telah menguasai banyak bidang ilmu baik ilmu yang diperoleh daripada ayahnya, Tok Kenali, mahupun daripada ulama-ulama Kelantan selain ayahnya.

Syeikh Muhammad Salleh adalah termasuk salah seorang yang rajin belajar, rajin mencatat sesuatu pelajaran malah apa yang dicatatkannya segera dihafal. Yang dihafal pula segera disebarkan.

Dalam penyebaran ilmu, Syeikh Muhammad Salleh tercatat pernah mengajar di Masjid al-Haram, Mekah. Beliau juga mengajar di Dar al-Ishlah, sebuah institusi pendidikan yang beliau asaskan di Mekah. Selain itu, Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali juga rajin mengembara ke seluruh Semenanjung Malaysia dan Singapura kerana menyebar ilmu-ilmu Islam. Beliau mempunyai hubungan silaturahim dengan bekas murid-murid ayahnya.

Penulisan

Syeikh Muhammad Salleh Tok Kenali adalah salah seorang ulama Kelantan yang aktif dalam penulisan. Hasil karya beliau berupa risalah yang sangat banyak jumlahnya. Yang disenaraikan di bawah ini adalah sebahagian kecil, antaranya:

1. At-Thariqatul Ishlahiyah liman Aradad Dun-ya wal Akhirah, diselesaikan di Darul Ishlah, Mekah, pagi hari tarikh 23 Syaaban 1361 H. Dicetak oleh Wah Shong Press, Alor Star (tanpa tarikh). Kandungannya membicarakan wirid pagi dan petang, doa selepas sembahyang, dalam perjalanan, pada hari-hari dan bulan-bulan yang tertentu. Di dalamnya juga disebut doa yang biasa diamalkan oleh Tok Kenali serta satu perisai diri yang diterima daripada Kiyai Shalih al-Juhuri yang sangat terkenal. Menerima pujian daripada Abdul Hadi Kamil Shalih, Batu Kurau, Perak.

2. An-Najmut Thali’ fi Qira-atin Nafi’, diselesaikan pada bulan Syawal 1361 H. Dicetak oleh Mathba’ah al-Hikmah, Kota Bharu, Kelantan. Kandungannya membicarakan ilmu membaca al-Quran/tajwid dan beberapa jenis amalan. Merupakan petikan daripada kitab Fathul Mu’thi, tazkirah dan lainnya. Pada pendahuluan buku ini penterjemah mencatatkan nama guru-gurunya yang beliau belajar ilmu yang tersebut dalam kitab ini. Mereka ialah al-Hafiz Syeikh Nuh, yang wafat pada 20 Rejab 1367 H, Syeikh Ahmad Hijazi, Syeikh Ibrahim Khazami, Syeikh Muhammad Nur Abul Khair, Syeikh Saiyid Muhammad Amin Kutubi, semuanya di Mekah al-Mukarramah, dan Syeikh Hasan asy-Syair di Madinatul Munawwarah, dan lain-lain. Pada halaman 91 dicatatkan nama-nama risalah karya beliau iaitu Al-Hikmah Hajji, At-Thariqatul Ishlah, Kitabus Shiyam, Risalatain Pada Bacaan 'Ashim, Risalah Keselamatan Kaum Ibu, Tarikh Darul Ishlah, Kandung Kemerdekaan, Tazkiratul Ghafilin dan Risalah Bagi Khulashah Faraid.

3. Tazkiratul Ghafilin mim man lahu 'Umril Arba’in, diselesaikan dalam Masjid al-Haram, Mekah, pagi Rabu, 16 Zulkaedah 1369 H. Ditulis kembali pada 29 Rabiulakhir 1370 H. Dicetak oleh Tu Ah Sung Press tanpa tarikh dan nama tempat. Kandungannya membicarakan tafsir beberapa surah dan ayat al-Quran dan syarah beberapa hadis terutama ditujukan kepada orang-orang yang sampai umur 40 tahun. Selain itu ia juga memberi peringatan kepada golongan remaja supaya mempersiapkan diri sebelum dewasa.

4. Al-Mashabih, diselesaikan pada 1 Muharam 1371 H. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 101 Jalan Sultan, Singapura. Kandungannya terdiri daripada beberapa risalah iaitu Syarahan daripada Dar al-Ishlah memberi keterangan sekalian peringkat manusia. Jagaan daripada tablis iblis terjemahan kitab yang sudah berusia 800 tahun. Hadis Nabi daripada Syamail bagi Tirmizi. Beberapa keterangan yang penting untuk orang-orang yang pergi ke Mekah dan keterangan rahsia sekalian Asma’.

5. Risalah ar Rafiqil Watsiq li Rabbil Qarib. Dikombinasikan cetakan karya oleh penulis yang sama, yang berjudul Al-Malja’ min Asyaddil Bala’, diselesaikan pada 28 Muharam 1376 H. Dicetak oleh The United Press, Penang, Maktabah wa Mathba’ah Al-Haji Abdullah Bin Muhammad Nuruddin Ar-Rawa. Kandungannya memperkenalkan terutama 25 amalan hikmah yang berfaedah untuk keselamatan dunia dan akhirat. Dimulai dengan kalimah empat amalan yang penulisnya terima daripada Kiyai Haji Salleh Penghulu Johor. Sesudahnya amalan tahan peluru yang penulisnya terima daripada Haji Muhammad Thaiyib Penghulu Pahang dan lain-lain.

6. Risalah Mekah wal Madinah, diselesaikan pada 10 Zulhijjah 1377 H, ditulis kali kedua pada 20 Zulhijjah 1377 H. Dicetak oleh Mathba’ah The United Press, Pulau Pinang. Kandungannya membicarakan asal Mekah dan Madinah, kelebihan-kelebihan kedua-duanya, nama-nama, tempat-tempat yang terkenal dan lain-lain termasuk Arafah, Mina, Mudzalifah dan lain-lain. Pada pendahuluan terdapat kata-kata aluan Dr. Burhanuddin al-Helmi, tarikh Tanah Melayu, pada 9 Ramadan 1379 H. Dicetak pada bahagian akhir Risalah Perkataan Merdeka. Selesai penulisan pada 28 Muharam 1378 H di Mekah al-Mukarramah.

7. Islam dan Rahsia. Kombinasi cetakan dengan karya Risalah Roh Islam oleh penulis yang sama, diselesaikan pada 27 Ramadan 1379 H. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Hikmah, Kelantan. Kandungannya memberi penjelasan tentang Islam daripada pelbagai aspek seperti sejarah penyebarannya, mundur maju dalam menghadapi pelbagai masalah dan termasuk pemikiran tentangnya. Pada bahagian akhir terdapat berbagai-bagai amalan yang baik dan doa yang makbul dan kaifiat beramal dengannya. Risalah ini diberi Kata Pengantar oleh Haji Encik Ahmad Ismail al-Hikmah (Dato’ Lela Negara Kelantan) pada tarikh Mekah al-Mukarramah, 1 Zulhijjah 1379 M.

8. Risalah Pembinaan Ruhani dan Kebendaan, diselesaikan tanpa dinyatakan tarikh, tetapi pada Kata Pengantar Ustaz Haji Abdur Razaq bin Yusuf, Kuala Terengganu dinyatakan tahun 1393 H/1973 M beliau mendapat keizinan untuk menerbitkan risalah tersebut. Dicetak oleh Percetakan Al-Ahliah, 5509 Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, Kelantan. Kandungan dimulai dengan Kata Pengantar oleh Ustaz Haji Abdur Razaq bin Yusuf, Kuala Terengganu. Ia memperkenalkan kebaikan-kebaikan Tuan Guru Syeikh Salleh Kenali yang diketahuinya. Kandungan ringkas keseluruhan memberi gambaran keindahan Mekah dan Madinah sejak pemerintahan Raja Abdul Aziz sehingga Raja Faisal. Pada bahagian akhir diiringi dengan bacaan-bacaan di Arafah.

9. Risalah Anwaril Mashabih, diselesaikan pada 17 Jamadilakhir 1399 H. Dicetak oleh Al-Ahliah Sendirian Berhad, Kota Bharu, Kelantan. Kandungannya memperkukuh tiga ilmu iaitu tauhid, fikh, tasawuf dan seterusnya dimulai dengan rangkap syair:

Hadiah kepada para jemaah haji daripada saya, Salleh Kenali:

Cap dengan derma wang diberi,

oleh Dewan Tok Kenali,

Sangat-sangat wajib diamali,

oleh pemuda dan pemudi,

Fahamkan sebelum datangnya mati,

supaya dapat syurga dikehendaki.

Tuan guru Abdul Hamid Besut anak murid Tuan Bendang Daya

TIDAK sedikit ulama silam dunia Melayu telah melahirkan tokoh yang menjadi ulama ataupun menjadi pemuka masyarakat hingga mencapai kedudukan pimpinan tertinggi pemerintahan negara. Seperti yang telah diriwayatkan dalam penulisan-penulisan saya yang lalu, sangat ramai pimpinan pemerintahan berketurunan ulama di Indonesia, Malaysia, bahkan juga termasuk di Thailand.

Sebagai contoh Dr. M. Hatta ialah cucu ulama Thariqat Naqsyabandiyah di Minangkabau. Beliau ialah pejuang kemerdekaan Indonesia dan menjadi wakil Presiden Indonesia yang pertama. Abdur Rahman Wahid yang merupakan anak dan cucu ulama pernah menjadi Presiden Indonesia.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, anak dan cucu ulama, adalah Perdana Menteri Malaysia sekarang. Dua orang Menteri Besar Terengganu yang terakhir, iaitu Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Idris Jusoh, kedua-duanya adalah keturunan ulama yang berpengaruh dalam masyarakat.

Yang hendak diperkenalkan pada kesempatan ini ialah datuk pada Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Terengganu sekarang. Nama lengkap datuknya berdasarkan tulisan beliau sendiri ialah Abdul Hamid bin Fadhlullah al-Basuti al-Falimbani. Yang dimaksudkan dengan ‘al-Basuti’ ialah Besut di Terengganu. Yang dimaksudkan dengan ‘al-Falimbani’ bukan Palembang di Sumatera Selatan, Indonesia tetapi adalah sebuah kampung dalam Besut di Terengganu.

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut asal usulnya juga berasal dari Patani, Thailand kerana pada masa dulu ramai ulama Besut dan raja-rajanya adalah berasal dari Patani. Antara ulama Besut yang berasal dari Patani ialah Syeikh Wan Hasan bin Syeikh Wan Ishaq al-Fathani. Beliau ini setelah berhijrah ke Besut dan dikenali dengan nama Syeikh Wan Hasan Besut.

Antara Raja Besut yang sangat erat hubungan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani dan lain-lain ialah Tengku Long. Beberapa pucuk surat-menyurat antara Tengku Long, Raja Besut, dengan kedua-dua ulama yang berasal dari Patani di Mekah itu boleh dijadikan bukti hubungan erat kekeluargaan antara Patani dengan Besut.

Bahkan nama ‘Besut’ itu sendiri diberikan oleh ulama yang berhijrah ke negeri itu. Selain surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, dan Tengku Long, Raja Besut, rupa-rupanya dalam sebuah karya Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut, yang diberi judul Thariqah as-Salikin, beliau memperkukuhkan dan menyerlahkan hubungan kedua-dua negeri itu termasuk pertalian keilmuannya.

Berdasarkan tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut sendiri, dapat dipastikan beberapa orang guru beliau dan asal usul ilmu yang beliau peroleh. Mulai halaman kulit dua buah karyanya dan halaman-halaman lain beliau menyebut nama guru yang paling banyak mengajarnya ialah Tok Kelaba al-Fathani.

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menyebut nama Tok Kelaba secara lengkap, seperti tulis beliau, ‘Min Syaikhi Syaikhina Rahimahumallah Ta’ala dan dikehendaki dengan ‘Syaikhi’, iaitu Tuan Guru hamba yang alim, lagi warak, iaitu Tuan Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif bin Abdul Mu’min bin Abdus Shamad al-Kalantani tsumma al-Kalabawi tsumma as-Sauwi’.

Tok Kelaba

Memperkenalkan nama guru sendiri seperti ini juga pernah dilakukan oleh ulama-ulama lainnya, termasuk Tok Kelaba sendiri. Rasanya dapat dipastikan cara Tok Kelaba tersebutlah yang ditiru oleh Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut. Setelah memperkenalkan nama guru yang paling dikagumi itu beliau menyebut pula nama guru daripada gurunya dengan kata beliau, “Dan dikehendaki dengan ‘Syaikhi Sayikhina’, yakni guru bagi guru kami itu, iaitu al-Allamah al-Arif ar-Rabbani asy-Syaikh Abdul Qadir bin asy-Syaikh Mushthafa al-Fathani yang masyhur dengan ‘Tuan Bendang Daya’ yang wafat di Mekah al-Mukarramah.”

Pada perkataan ‘al-Fathani’ diberi tanda untuk nota kaki, yang selengkapnya. Kata beliau, “Qauluhu ‘al-Fathani’, yakni tempat segala guru-gurunya yang alim-alim dan tempat ia belajar padanya.” Kemudian Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menterjemah tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah beliau tulis dalam Tashil Nail al-Amani iaitu kalimat yang sama yang pernah juga diterjemah oleh Tok Kelaba.

Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menulis sanadnya pada jalur yang lain. Katanya, “Dan telah hamba dapat pula akan khat Tuan Guru hamba yang tersebut, dan ia daripada Syeikhnya Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, daripada Syeikhnya ad-Dimyathi.”

Pada kalimat yang lain, beliau tulis pula jalur ilmu daripada Tok Kelaba lalu disebut nama Syeikh Umar. Mungkin maksudnya Syeikh Umar al-Baqa’ie asy-Syami, iaitu seorang ulama besar termasuk salah seorang guru pada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dalam koleksi saya hanya terdapat dua buah karya Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut yang saya peroleh daripada Ustaz Haji Abd. Rahman @ Ustaz Mat Atas Beris, Besut, salah seorang cucu beliau.

Karya yang pertama, Thariqah as-Salikin ila Ma'rifah Rabb al-'Alamin, diselesaikan pada 13 Rejab 1357 H/7 September 1938 M, cetakan pertama, United Press, Pulau Pinang, 1357 H/1938 M. Karya beliau yang kedua, Pungkal Umbi Agama, diselesaikan pada hari Rabu 15 Rejab 1366 H/4 Jun 1947 M, cetakan pertama, Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan, 1368 H/1949 M.

Yang dibicarakan dalam artikel ini hanyalah karya yang pertama saja sedangkan karya yang kedua tidak dibicarakan.

Kitab Thariqah as-Salikin disusun dengan merujuk beberapa buah kitab bahasa Arab dan kitab bahasa Melayu. Antara karangan ulama dunia Melayu yang dirujuk ialah Tibyan fi Ma'rifat al-Adyan (Melayu) karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Ad-Durr an-Nafis (Melayu) karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Tijan ad-Darari (Arab) karya Syeikh Nawawi al-Bantani, Jumanah at-Tauhid (Arab) karya Syeikh Ahmad al-Fathani dan Tashil Nail al-Amani (Arab) juga karya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Selain itu Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut juga menyebut ada yang beliau peroleh daripada tulisan tangan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya). Sangat disesali beliau tidak menyebut judul kitab Tok Bendang Daya itu.

Walaupun kandungan keseluruhan Thariqah as-Salikin adalah membicarakan akidah namun sangat banyak bahasannya menurut jalan pemikiran sufi. Beberapa istilah yang beliau sebut, antaranya ada yang tidak dibicarakan dalam kitab lain. Beberapa istilah yang dirasakan perlu dipindahkan ke dalam artikel ini, antaranya ialah:

1. ‘Salikin’ jamak perkataan ‘salik’ iaitu orang yang bersungguh-sungguh ijtihad melakukan ibadat kepada Allah dengan riadah, mujahadah, mengamalkan sekalian wirid yang diijazahkan oleh Syeikhnya dengan tiada cedera mengerjakannya dan tiada menyalahi apa-apa yang disuruh oleh gurunya daripada segala ibadat dan lainnya (hlm. 3). Takrif istilah ini dipetik daripada Ad-Durr an-Nafis.

2. Syeikh pengertian lughat ialah laki-laki yang telah berumur melebihi empat puluh tahun. Makna uruf ialah laki-laki yang sampai darjat dalam pengetahuan, jika ia kanak-kanak sekali pun (hlm 4). Takrif istilah ini dipetik daripada Hasyiyah al-Mathari 'ala Syarh as-Sittin.

3. Muraqabah, takrifnya ialah seseorang yang keluar daripada daya dan upayanya kerana mengintai bagi Haq, ia berpaling daripada sekalian yang lainnya, serta ia karam dalam laut musyahadah. Tiadalah dia memperoleh muraqabah itu, melainkan dengan melazimkan zikrullah (hlm. 6).

4. Mutaqaddimun, takrifnya ialah orang-orang yang hidup dahulu sebelum empat ratus tahun hijrah. Lawannya ialah ‘mutaakhkhirun’, takrifnya ialah orang-orang yang hidup kemudian sebelum empat ratus tahun hijrah (hlm. 18). Kedua-dua istilah ini Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut merujuk kepada tulisan Syeikh Abdullah asy-Syarqawi.

Perbandingan

Istilah ‘mutaqaddimun’ dan ‘mutaakhkhirun’ yang kedua-dua istilah ini banyak digunakan dalam fikh dapat kita bandingkan dengan dua istilah yang banyak digunakan dalam akidah ialah ‘salaf’ dan ‘khalaf’. Istilah ‘salaf’ ialah mereka yang hidup lebih dahulu daripada lima ratus tahun setelah hijrah. Pendapat lain menyebut dalam kurun yang ketiga hijrah. Istilah ‘khalaf’ pula ialah mereka yang hidup kemudian daripada lima ratus tahun daripada hijrah.

Pendapat lain menyebut bahawa mereka yang hidup sesudah kurun yang ketiga hijrah. Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut menyimpulkan bahawa ‘salaf’ ialah ‘para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. saja’, sedangkan ‘khalaf’ adalah dimulai dari zaman ‘tabi’in’ dan ‘tabi’it-tabi’in’.

Semua istilah itu beliau sebut pada bahagian tepi kitab. Ia menjadi nota atau sebagai keterangan perbicaraan kitab. Setelah memetik istilah pada nota, dirasakan perlu pula memetik beberapa istilah dalam kandungan kitab, di antaranya ialah:

1. Ahlil ma’arif, takrifnya orang yang bergantung hatinya kepada Allah, sekalian asma’-Nya, sekalian sifat-Nya, dengan sekalian yang diperintah oleh Allah terhadapnya dengan mujahadah, muraqabah, musyahadah, dan lainnya (hlm. 36).

2. Haqiqah atau haqiqat, takrifnya sampai kepada makam yang dikehendaki, iaitu musyahadah kepada nur at-tajalli, asrar al-Ilahiyi, musyahadah akan qada dan qadar yang zahir dan yang ghaib sekaliannya datang daripada Allah dan kembali kepada-Nya. Adalah musyahadah itu dengan nur al-ma’rifah yang datang atas hati pada ketika suci dan sunyi daripada kekeruhan aghyar (hlm. 37).

3. Thariqah atau thariqat, takrifnya natijah daripada syariat, seperti adalah haqiqat itu natijah daripada thariqat, itulah jalan untuk sampai kepada Allah yang dipraktikkan oleh ahli sufi dengan bersungguh-sungguh mengamalkan syariat dengan mengekalkan mujahadah, atau memerangi hawa nafsu dan syaitan selanjutnya mengekalkan riyadhah dan muraqabah yang diredai Allah.

Tentang akal manusia, Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah Besut, memperkenalkan beberapa istilah iaitu nur al-iman, takrifnya cahaya iman, iaitu akal yang sabit bagi kebanyakan kaum Muslimin. Nur al-kasyaf, takrifnya cahaya yang dibangsakan kepada kasyaf. Maksudnya ialah ia dapat memandang perkara-perkara ghaib yang tiada dapat dipandang dengan mata kepala.

Nur al-ma’arif ar-Rabbaniyah, takrifnya ialah akal yang sabit pada para Wali Allah. Nur an-Nubuwah, takrifnya ialah cahaya kenabian. Makna pada istilah ialah akal yang paling tinggi darjatnya, iaitu akal Nabi Muhammad s.a.w.dan Anbiya’ (para Nabi) selain beliau.

Dalam mukadimah artikel ini disebut bahawa dalam perkembangan sejarah ulama, ramai keturunan mereka yang berhasil jadi ulama, tokoh ataupun pemimpin. Ulama yang beramal dengan akhlak al-karimah (mulia) adalah pewaris Anbiya’. Nama mereka harum, wangi sepanjang zaman.

Nama mereka akan lebih harum lagi sekiranya keturunan mereka yang menjadi pemimpin sesudahnya mengamalkan akhlak al-karimah pula.

Sebaliknya menjadi busuklah nama ulama yang harum sekiranya generasi keturunannya yang terkemuka berakhlak yang dicela oleh masyarakat zamannya, apatah lagi sekiranya mereka melanggar perintah-perintah Allah s.a.w..

Syeikh Abdul Wahhab Siantan mufti dan guru kerajaan Riau-Lingga

APABILA kita menoleh kebelakang dalam membicarakan ulama-ulama abad ke-18, kebanyakannya berdasarkan tarikh kelahiran ataupun hasil penulisan beberapa orang ulama dunia Melayu yang hidup pada zaman yang sama. Antara yang dapat dikesan tarikh lahir dan wafat ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, lahir pada 15 Safar 1122 H/9 Mac 1710 M, wafat 6 Syawal 1227 H/13 Oktober 1812 M.

Ini bererti ulama yang berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan tersebut lebih muda sekitar setahun lebih sedikit jika dibandingkan dengan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan yang lahir pada tahun 1120 H/1708 M.

Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Ibnu Syeikh Abdul Mu’thi Ibnu Syeikh Muhammad Shalih, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Maduri dapat dihubungkan dengan tahun-tahun kehidupan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan.

Pelbagai sumber riwayat juga dapat dibandingkan dengan tahun kemunculan penulisan yang terdapat pada kitab-kitab yang mereka hasilkan.

Nampaknya yang termuda antara mereka ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Sewaktu Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan meninggal dunia pada tahun 1239 H/1824 M, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani telah muncul sebagai seorang ulama besar yang terkenal dan sebelum tahun tersebut ulama yang berasal dari Patani itu telah menghasilkan beberapa karangan.

Walau bagaimanapun, memperhatikan tahun kelahiran Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan pada tahun yang tersebut diperkirakan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah seangkatan atau sebaya dengan Syeikh Abdullah Siantan, iaitu salah seorang anak Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan. Syeikh Abdullah bin Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan juga adalah seorang ulama besar yang menghasilkan penulisan.

Pada masa yang sama Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan dan Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Maduri memainkan peranan yang sangat penting dalam istana kerajaan Riau-Lingga. Ada riwayat yang pasti bahawa Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Maduri pernah membai’ah Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah kepada Raja Ali bin Daeng Kemboja, Yang Dipertuan Muda Riau ke-V dan tokoh-tokoh Riau-Lingga lainnya. Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah pula adalah thariqat yang diamalkan oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan juga Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan.

Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan, ulama yang berasal dari Kepulauan Siantan yang terletak di Laut China Selatan yang diriwayatkan ini lahir pada tahun 1120 H/1708 M, dan wafat tahun 1239 H/1824 M pada usia 119 tahun, menurut hitungan tahun Hijrah atau 116 tahun menurut hitungan tahun Masihi.

Hampir semua ulama yang tersebut di atas dirahmati oleh Allah dengan berumur panjang, melewati 100 tahun. Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari wafat dalam usia lebih kurang 105 tahun, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang dipercayai hilang dalam Perang Kedah dan Patani melawan Siam pada tahun 1244 H/1828 M juga melebihi usia 100 tahun.

Dari satu segi ada sedikit persamaan riwayat antara ulama yang berasal dari Banjar dan Siantan itu setelah kedua-dua pulang ke tanah air. Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilantik sebagai Mufti Kerajaan Banjar dan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan dilantik menjadi Mufti Kerajaan Riau-Lingga pada masa pemerintahan Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-6 (1805-1831 M).

Pada masa pemerintahan Yang Dipertuan Muda Raja Ja’far, Mufti Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan membina sebuah Masjid Jami’ Penyengat Inderasakti yang diperbuat daripada putih telur yang sangat terkenal itu. Dengan terbinanya masjid tersebut bererti dakwah dan pendidikan Islam di kerajaan Riau-Lingga tambah lebih menyerlah dan pada masa yang sama para ulama ramai yang datang.

Maklumat terawal tentang Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan adalah berdasarkan beberapa catatan dan surat Raja Ali Haji yang berbunyi: “... iaitu namanya Tuan Haji Abdul Wahhab, satu ulama yang besar lagi Mufti di dalam Riau-Lingga, umurnya seratus enam belas tahun. Ada kuburnya di Pulau Penyengat, di atas bukit bersama-sama dengan kubur Habib Syaikh, kubur Marhum Teluk Ketapang....”

Murid-murid

Raja Ali Haji, pujangga Melayu yang sangat terkenal, pernah mengirim surat kepada pembesar Belanda bernama Von de Wall mengatakan bahawa Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan, Mufti Riau-Lingga, adalah guru kepada Yang Dipertuan Muda Raja Ja’far dan guru pula kepada orang tuanya Engku Haji Tua, iaitu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji. Sekitar empat tahun setelah Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan meninggal dunia, tepatnya pada tahun 1243 H/1827 M, Raja Haji Ahmad bin Raja Haji termasuk putera beliau Raja Ali Haji pergi ke Mekah menunaikan ibadah haji.

Sewaktu berada di Mekah, kedua-dua Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji sempat belajar dalam waktu yang pendek dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jika kita telusuri maklumat ini secara teliti dapat disimpulkan bahawa memang telah ada hubungan antara Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Penulisan

Penulisan yang diselenggarakan oleh Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan pada pandangan saya telah mendahului semua penulisan yang berasal dari Riau-Lingga, kerana dipercayai ketika Raja Haji Ahmad bin Raja Haji masih belajar dengan beliau, ulama Siantan itu telah menghasilkan karangan.

Raja Haji Ahmad bin Raja Haji telah mendahului penulisan yang dilakukan oleh anak beliau, Raja Ali Haji, yang terkenal itu. Oleh hal yang demikian pengaruh keilmuan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan terutama dalam bidang karang-mengarang adalah sangat besar terhadap tokoh-tokoh yang berasal dari Riau-Lingga.

Surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall memberi gambaran bahawa ulama yang berasal dari Siantan itu telah menterjemahkan sebuah hikayat daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Raja Ali Haji menulis, “... Adalah asal hikayat bahasa Arab, diterjemahkan daripada bahasa Parsi. Yang membawanya Habib Syaikh bangsa Saqaf. Maka dimelayukan oleh guru ayah saya Engku Haji Tua, iaitu namanya Tuan Haji Abdul Wahhab....”

Selanjutnya karya yang tersebut mendapat perhatian Von de Wall. Raja Ali Haji sendiri telah menerima naskhah itu daripada pembesar Belanda itu. Raja Ali Haji menulis, “Syahdan adalah memaklumkan kepada tuan hal surat Golam yang tuan berikan kepada tangan saya hari itu, sudahlah saya periksa daripada awalnya hingga akhirnya.

“Maka saya dapat ralatnya ada kira-kira lima puluh dua tempat, ada yang tertinggal perkataan, ada yang salah perkataannya, ada yang diganti orang hurufnya dan bahasanya. Apa lagi yang tentang bahasa Arabnya, ada kira-kira saya yang tertinggal tukang atur kalimah itu, atau tukang membacanya, atau naskhahnya memang sudah dirosakkan orang atau diubah orang, wallahualam, tiadalah saya tahu. Akan tetapi jika dibetulkan kira-kira sepuluh hari boleh betul....”

Terjadi banyak kesalahan cetak dalam sesuatu karangan seperti yang disebut oleh Raja Ali Haji di atas sebenarnya bukan sahaja berlaku pada Hikayat Golam karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan tetapi juga pernah berlaku pada karya-karya lainnya. Pengalaman Raja Ali Haji dalam bidang tersebut juga pernah dinyatakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar. Dalam kitab itu beliau nyatakan tentang melaksanakan pentashhihan kitab Hidayah as-Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Raja Ali Haji ialah seorang tokoh yang sangat mengasihi pernaskhahan karya ulama Melayu, apatah lagi ulama yang dikasihinya seperti Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan. Oleh itu beliau nyatakan, “Syahdan yang saya terlalu dukacita melihatnya, sebab kerana hikayat itu keluarnya dari Riau Pulau Penyengat ini, dari dalam kota tempat kediaman saya serta ayah saya....”

Kata Raja Ali Haji seterusnya, “Maka sekarang ini hendak kita betulkan semuanya terlalu susah, sudah tercetak beberapa banyak, melainkan fikiran saya satu saja, yang betul tinggal kepada tuan, yang sahnya boleh taruh pada akhirnya.

“Inilah Hikayat Golam yang karangan Mufti Haji Abdul Wahhab guru Yang Dipertuan Muda Raja Ja'far serta segala saudaranya di dalam Riau Pulau Penyengat.

“Boleh kita cari naskhah asalnya dan tahun masa dia mengarang itu.

“Kemudian apabila sudah betul baharu kita suruh baca kepada satu orang, kita mendengarnya sama-sama kira-kira satu hari di dalam dua jam. Kira-kira empat lima hari habis hikayat itu. Demikianlah fikiran saya, jika tidak begitu, tentulah rosak memanjang karangan orang tua itu....”

Pandangan Raja Ali Haji di atas dapat kita fahami bahawa walaupun ketika itu adalah pada zaman pemerintahan Belanda, namun untuk menyelamatkan sesuatu naskhah karya kewarisan adalah sangat penting campur tangan pihak pemerintah. Sekarang kita telah merdeka, oleh itu pandangan Raja Ali Haji demi menyelamatkan karya Melayu, sebagai khazanah penting kewarisan bangsa Melayu, secara keseluruhannya perlu diperkukuh dan diperhebatkan.

Pentashhihan

Surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall, tarikh 29 Rejab 1283 H, pula dinyatakan, “... Istimewa pula yang saya senantiasa ketika harap juga akan pertolongan tuan atas saya, perkara pertama, menutup kemaluan (maksudnya: perasaan malu, pen:) saya daripada segala kitab-kitab karangan saya atau karangan ulama saya Haji Abdul Wahhab, yang sudah rosak perkataannya yang dicetak-cetak orang di dalam Betawi pada beberapa tempat. Jikalau tiada dibetulkan jadilah berpanjangan aib saya dan aib ulama saya itu.”

Kalimat Raja Ali Haji yang mengambil perhatian terhadap karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan di atas (surat tahun 1281 H dan 1283 H) dapat kita bandingkan dengan kenyataan Syeikh Ahmad al-Fathani ketika mentashhih Hidayatus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani (tahun tashhih 1298 H).

Nampaknya Raja Ali Haji mengalami kegagalan memperkenal, menerbit dan menyebarluaskan karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan itu, tetapi Syeikh Ahmad al-Fathani ternyata mencapai keberhasilan yang besar kerana karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang pernah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu masih tetap tersebar tiada henti-hentinya diterbitkan orang hingga sekarang ini.

Bahkan hampir semua kitab ulama yang seangkatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang pernah ditashhih dan diterbitkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani demikian juga masih berada di pasaran dan diajarkan orang. Sekiranya karya Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan yang disebut oleh Raja Ali Haji itu pernah ditangani oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan diterbitkan di Asia Barat seperti kitab-kitab lainnya tentu saja akan masih kekal ia di pasaran kitab sebagaimana kitab-kitab lainnya. Dipercayai karangan Syeikh Haji Abdul Wahhab Siantan itu tiada pernah sampai ke tangan Syeikh Ahmad al-Fathani.

Haji Wan Muhammad Al-Kalantani Mufti Kelantan yang ke-IV

SUKAR juga untuk memastikan siapakah ulama yang bernama Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sama ada seorang atau pun dalam masa yang sama terdapat dua orang.

Diriwayatkan bahawa yang seorang dikatakan lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Yang seorang lagi sekurang-kurangnya terdapat tiga buah salinan risalah. Di antaranya ialah salinan Risalah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Thariqat Syathariyah.

Pada akhir salinan beliau menulis, “Tammat al-kalam bil khair atas tangan faqir al-haqir Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan, Kampung Laut di dalam Biladillah al-Haram, Hijrah an-Nabiyi sanah 1294 H.” Sekiranya yang dimaksudkan adalah orang yang sama, maka jelas penyalinan yang dilakukan adalah sewaktu beliau berusia sekitar tujuh tahun sahaja. Ini adalah sangat meragukan, tetapi walau bagaimana pun bukanlah mustahil. Kemungkinan juga sewaktu beliau menyalin itu umurnya lebih dari tujuh tahun sekiranya catatan tahun kelahiran yang disebutkan di atas terjadi satu kekeliruan dan beliau lahir jauh lebih awal dari tahun tersebut.

Oleh sebab sukar mentahqiqkannya, tiada siapa yang dapat dirujuk buat ketika ini, maka sementara waktu saya anggap saja yang bernama Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan adalah seorang saja. Sekiranya di belakang hari terdapat data dan fakta bahawa terdapat dua orang yang berlainan maka tulisan ini boleh dipinda kembali.

Nama lengkapnya ialah Wan Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani. Yang dimaksudkan dengan Abdus Shamad al-Kalantani di sini iaitu Syeikh Wan Abdus Shamad bin Wan Muhammad Shalih al-Kalantani. Beliau pernah digelar dengan “Tuan Kutan” atau digelar juga dengan “Tuan Tabal”. Mengenai beliau (Tuan Tabal) pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 4 Oktober 2004, Seksyen 3, hlm. 10. Haji Wan Muhammad pula adalah anak saudara kepada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani yang pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 27 September 2004, Seksyen 3, hlm. 9.

Ibu Haji Wan Muhammad bernama Wan Kaltsum adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Kedua-duanya adalah anak kepada Haji Wan Abdur Rahman @ Tok Semian (Jurutulis Sultan Muhammad II). Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal al-Kalantani lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Wafat juga di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Rabu, 27 Rabiulawal 1339 H/8 Disember 1920 M.

THARIQAT

Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri. Kemudian ayahnya membawanya ke Mekah ketika dia berusia sekitar 11 tahun pada 1298 H, demikianlah yang disebut oleh Ismail Wang dalam majalah Pengasuh. Tetapi dalam karya yang dinyatakan salinan Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan yang tersebut di atas bahawa penyalinan dilakukan di Biladullah al-Haram, yang maksudnya Mekah, pada 1294 H. Jadi pada 1294 H, beliau telah berada di Mekah. Tentang salinan naskhah Thariqat Syathariyah, beliau menyebut Al-Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ditalqin atau dibaiah oleh Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani. Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dan seterusnya kepada yang lebih ke atas.

Ada pun pada bahagian Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan tidak menyebut nama gurunya, melainkan langsung saja menyebut salasilah mulai dari Syeikh Ahmad Khathib Sambas, tulisannya, “Adapun salasilah dua tarekat ini, maka terhimpun pada Salasilah Qadiriyah, iaitu Syeikh Ahmad Khathib bin al-Marhum Abdul Ghaffar al-Jawi Sambas. Ia mengambil daripada Saiyid Syamsuddin ...”, dan seterusnya hingga ke atas. Kemungkinan Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sempat menerima tarekat itu langsung kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, kerana ulama Sambas tersebut adalah seangkatan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.

Sebagaimana ulama-ulama dunia Melayu lainnya terutama orang-orang yang berasal dari Kelantan demikian halnya Haji Wan Muhammad Kelantan mengutamakan belajar kepada ulama-ulama Melayu yang terkenal terutama tiga orang, ialah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Wan Muhammad Kelantan lebih mengutamakan ketiga-tiga ulama tersebut berbanding dengan ulama lainnya lebih-lebih yang ada pertalian kekeluargaan yang sangat dekat dengannya.

Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudaranya, iaitu adik kepada ibunya Wan Kaltsum. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani pula adalah berbiras dengan Syeikh Wan Ali Kutan, kerana terjadi perkahwinan dua orang anak antara kedua-duanya. Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara isteri Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Hubungan kekeluargaan ulama ini saya sentuh sambil lalu saja, kerana jika dihuraikan terlalu panjang dan sangat banyak kaitannya dengan ulama- ulama yang lainnya.

Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani ketiga-tiga mereka juga adalah murid dan menerima talqin dan baiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, demikian halnya dengan Tuan Tabal yang juga pernah menerima thariqat yang sama daripada ulama Patani itu. Pengakuan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal menerima Thariqat Syathariyah dalam tahun 1294 H, seperti telah disebutkan, adalah ketika beliau bersama-sama ayahnya, Tuan Tabal, menziarahi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau inilah yang dikatakan sebagai “Khalifah Pada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani”.

Selain mengamal Thariqat Syathariyah, Haji Wan Muhammad Kelantan, ayahnya Tuan Tabal dan saudaranya Haji Wan Musa juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad bin Idris.

Demikian Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah. Diriwayatkan pula bahawa Haji Wan Muhammad Kelantan juga mengamalkan “Hizib al-Bahr”. Dapat dipastikan Hizib al-Bahr beliau terima ijazah dari Syeikh Wan Ali Kutan yang sanadnya bersambung hinggalah yang pertama mengamalkannya, iaitu Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Mengenai Hizib al-Bahr, sekali gus Salasilah Thariqat Syaziliyah, yang musalsal (bersambung dari seorang kepada seorang) hingga sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. ada dibicarakan oleh Syeikh Wan Ali Kutan dalam karya beliau Lum'ah al-Aurad.

Sungguhpun Haji Wan Muhammad Kelantan lebih banyak belajar dan mengutamakan golongan keluarga yang terdekat, bukanlah bererti beliau tertutup belajar kepada ulama-ulama lainnya. Selama tinggal di Mekah, Haji Wan Muhammad Kelantan sering mengikuti ayahnya Tuan Tabal pergi belajar kepada ulama-ulama selain yang tersebut itu, termasuk juga kepada ulama-ulama bangsa Arab sendiri seperti Saiyid Abi Bakri Syatha, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, dan lain-lain.

PELBAGAI PELANTIKAN

Ada dua orang anak Tuan Tabal yang pernah menjadi Mufti Kelantan. Mufti Kelantan yang ketiga ialah Haji Wan Musa bin Tuan Tabal yang dilantik pada 10 Rejab 1327 H/27 Julai 1909 M. Selanjutnya Mufti Kelantan yang keempat ialah Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik pada 22 Syawal 1334 H/21 Ogos 1916 M. Haji Wan Musa bin Tuan Tabal adalah adik kepada Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal tetapi Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan lebih dahulu daripada abangnya Haji Wan Muhammad.

Jika kita teliti pemikiran Haji Wan Muhammad dalam pegangan Islam tidak ada perbezaan dengan semua Mufti Kelantan yang terdahulu, kecuali yang berbeza adalah dengan adiknya sendiri Haji Wan Musa. Haji Wan Musa membawa pemikiran cara baru, yang dinamakan “Kaum Muda”. Sewaktu terjadi pertikaian hangat antara “Kaum Tua” dan “Kaum Muda” di Kelantan dalam tahun 1937 M Haji Wan Muhammad telah lama meninggal dunia, jadi beliau tidak terlibat dalam perkara-perkara khilafiyah yang ditimbulkan oleh adiknya, Haji Wan Musa itu.

Sebelum pelantikan menjadi Mufti Kelantan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal pernah dilantik oleh Sultan Mansur menjadi Imam Masjid Kota Bharu, pelantikan dijalankan pada 15 Jamadilakhir 1314 H. Pada 30 Muharam 1334 H/7 Disember 1915 M Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik menjadi ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Setelah itu dilantik pula menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu, pada 26 Safar 1334 H/2 Januari 1916 M. Beberapa bulan selepas tarikh tersebut barulah beliau dilantik menjadi Mufti Kelantan. Selain pelantikan-pelantikan yang tersebut Haji Wan Muhammad juga pernah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Kelantan pada 27 Mei 1918 M. Dilantik pula menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan oleh Sutan Muhammad IV, pada 27 September 1919 M.

Mengenang perjuangan beliau yang sangat gigih dan keberhasilannya yang demikian menyerlah dan gemilang, Sultan Muhammad IV telah mengurniakan kepada beliau Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K). Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal adalah Mufti Kelantan yang pertama memperoleh kurnia bintang yang tersebut. Dalam catatan sejarah perkembangan pesat Islam dalam pelbagai corak aktiviti di Kelantan adalah pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV, yang paling gigih berjuang sekurang-kurangnya ada empat orang ulama, ialah Tok Kenali, Datuk Nik Mahmud (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan), Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id (Datuk Laksamana Kelantan) dan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal (Mufti Kelantan).

Dalam catatan sejarah pula keempat-empat mereka selain mendapat pendidikan dari ramai guru, namun tidak dapat dinafikan yang bercorak pengkaderan khusus, yang membolehkan mereka mempunyai pelbagai kepandaian, pemikiran luas dan berpandangan jauh ke masa hadapan adalah diperoleh dari Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Kemungkinan kerana kesibukan dalam pelbagai tugas jabatan yang disandang oleh Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal hingga kini belum terdapat sesuatu karangan yang dihasilkan oleh beliau. Demikian juga kemungkinan juga beliau tidak sempat mendirikan institusi pendidikan sendiri, hingga kini belum diketahui nama murid yang pernah mendapat pendidikan dari beliau secara langsung. Ini bukan memperkecilkan ulama dan tokoh besar yang dibicarakan, tetapi hanya sekadar membandingkan dengan ayah beliau sendiri Tuan Tabal, bahawa Tuan Tabal menghasilkan beberapa buah karangan, di antara karangan Tuan Tabal ada yang masih diajar dan dirujuk hingga sekarang. Murid-murid Tuan Tabal pula sempat dicatat oleh peminat-peminat sejarah ulama.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hostgator Discount Code