SUKAR juga untuk memastikan siapakah ulama yang bernama Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sama ada seorang atau pun dalam masa yang sama terdapat dua orang.
Diriwayatkan bahawa yang seorang dikatakan lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Yang seorang lagi sekurang-kurangnya terdapat tiga buah salinan risalah. Di antaranya ialah salinan Risalah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Thariqat Syathariyah.
Pada akhir salinan beliau menulis, “Tammat al-kalam bil khair atas tangan faqir al-haqir Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan, Kampung Laut di dalam Biladillah al-Haram, Hijrah an-Nabiyi sanah 1294 H.” Sekiranya yang dimaksudkan adalah orang yang sama, maka jelas penyalinan yang dilakukan adalah sewaktu beliau berusia sekitar tujuh tahun sahaja. Ini adalah sangat meragukan, tetapi walau bagaimana pun bukanlah mustahil. Kemungkinan juga sewaktu beliau menyalin itu umurnya lebih dari tujuh tahun sekiranya catatan tahun kelahiran yang disebutkan di atas terjadi satu kekeliruan dan beliau lahir jauh lebih awal dari tahun tersebut.
Oleh sebab sukar mentahqiqkannya, tiada siapa yang dapat dirujuk buat ketika ini, maka sementara waktu saya anggap saja yang bernama Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan adalah seorang saja. Sekiranya di belakang hari terdapat data dan fakta bahawa terdapat dua orang yang berlainan maka tulisan ini boleh dipinda kembali.
Nama lengkapnya ialah Wan Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani. Yang dimaksudkan dengan Abdus Shamad al-Kalantani di sini iaitu Syeikh Wan Abdus Shamad bin Wan Muhammad Shalih al-Kalantani. Beliau pernah digelar dengan “Tuan Kutan” atau digelar juga dengan “Tuan Tabal”. Mengenai beliau (Tuan Tabal) pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 4 Oktober 2004, Seksyen 3, hlm. 10. Haji Wan Muhammad pula adalah anak saudara kepada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani yang pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 27 September 2004, Seksyen 3, hlm. 9.
Ibu Haji Wan Muhammad bernama Wan Kaltsum adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Kedua-duanya adalah anak kepada Haji Wan Abdur Rahman @ Tok Semian (Jurutulis Sultan Muhammad II). Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal al-Kalantani lahir di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Jumaat, 5 Rejab 1287 H/1 Oktober 1870 M. Wafat juga di Kota Bharu, Kelantan, pada malam Rabu, 27 Rabiulawal 1339 H/8 Disember 1920 M.
THARIQAT
Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri. Kemudian ayahnya membawanya ke Mekah ketika dia berusia sekitar 11 tahun pada 1298 H, demikianlah yang disebut oleh Ismail Wang dalam majalah Pengasuh. Tetapi dalam karya yang dinyatakan salinan Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan yang tersebut di atas bahawa penyalinan dilakukan di Biladullah al-Haram, yang maksudnya Mekah, pada 1294 H. Jadi pada 1294 H, beliau telah berada di Mekah. Tentang salinan naskhah Thariqat Syathariyah, beliau menyebut Al-Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ditalqin atau dibaiah oleh Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani. Syeikh ‘Ali bin Ishaq al-Fathani ditalqin atau dibai’ah oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dan seterusnya kepada yang lebih ke atas.
Ada pun pada bahagian Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan tidak menyebut nama gurunya, melainkan langsung saja menyebut salasilah mulai dari Syeikh Ahmad Khathib Sambas, tulisannya, “Adapun salasilah dua tarekat ini, maka terhimpun pada Salasilah Qadiriyah, iaitu Syeikh Ahmad Khathib bin al-Marhum Abdul Ghaffar al-Jawi Sambas. Ia mengambil daripada Saiyid Syamsuddin ...”, dan seterusnya hingga ke atas. Kemungkinan Haji Muhammad bin Abdus Shamad Kelantan sempat menerima tarekat itu langsung kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas, kerana ulama Sambas tersebut adalah seangkatan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.
Sebagaimana ulama-ulama dunia Melayu lainnya terutama orang-orang yang berasal dari Kelantan demikian halnya Haji Wan Muhammad Kelantan mengutamakan belajar kepada ulama-ulama Melayu yang terkenal terutama tiga orang, ialah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Wan Muhammad Kelantan lebih mengutamakan ketiga-tiga ulama tersebut berbanding dengan ulama lainnya lebih-lebih yang ada pertalian kekeluargaan yang sangat dekat dengannya.
Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudaranya, iaitu adik kepada ibunya Wan Kaltsum. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani pula adalah berbiras dengan Syeikh Wan Ali Kutan, kerana terjadi perkahwinan dua orang anak antara kedua-duanya. Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara isteri Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Ahmad al-Fathani pula adalah anak saudara kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Hubungan kekeluargaan ulama ini saya sentuh sambil lalu saja, kerana jika dihuraikan terlalu panjang dan sangat banyak kaitannya dengan ulama- ulama yang lainnya.
Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani ketiga-tiga mereka juga adalah murid dan menerima talqin dan baiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, demikian halnya dengan Tuan Tabal yang juga pernah menerima thariqat yang sama daripada ulama Patani itu. Pengakuan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal menerima Thariqat Syathariyah dalam tahun 1294 H, seperti telah disebutkan, adalah ketika beliau bersama-sama ayahnya, Tuan Tabal, menziarahi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau inilah yang dikatakan sebagai “Khalifah Pada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani”.
Selain mengamal Thariqat Syathariyah, Haji Wan Muhammad Kelantan, ayahnya Tuan Tabal dan saudaranya Haji Wan Musa juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad bin Idris.
Demikian Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Ahmad al-Fathani juga beramal dengan Tarekat Ahmadiyah Idrisiyah. Diriwayatkan pula bahawa Haji Wan Muhammad Kelantan juga mengamalkan “Hizib al-Bahr”. Dapat dipastikan Hizib al-Bahr beliau terima ijazah dari Syeikh Wan Ali Kutan yang sanadnya bersambung hinggalah yang pertama mengamalkannya, iaitu Syeikh Abi Hasan asy-Syazili. Mengenai Hizib al-Bahr, sekali gus Salasilah Thariqat Syaziliyah, yang musalsal (bersambung dari seorang kepada seorang) hingga sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. ada dibicarakan oleh Syeikh Wan Ali Kutan dalam karya beliau Lum'ah al-Aurad.
Sungguhpun Haji Wan Muhammad Kelantan lebih banyak belajar dan mengutamakan golongan keluarga yang terdekat, bukanlah bererti beliau tertutup belajar kepada ulama-ulama lainnya. Selama tinggal di Mekah, Haji Wan Muhammad Kelantan sering mengikuti ayahnya Tuan Tabal pergi belajar kepada ulama-ulama selain yang tersebut itu, termasuk juga kepada ulama-ulama bangsa Arab sendiri seperti Saiyid Abi Bakri Syatha, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, dan lain-lain.
PELBAGAI PELANTIKAN
Ada dua orang anak Tuan Tabal yang pernah menjadi Mufti Kelantan. Mufti Kelantan yang ketiga ialah Haji Wan Musa bin Tuan Tabal yang dilantik pada 10 Rejab 1327 H/27 Julai 1909 M. Selanjutnya Mufti Kelantan yang keempat ialah Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik pada 22 Syawal 1334 H/21 Ogos 1916 M. Haji Wan Musa bin Tuan Tabal adalah adik kepada Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal tetapi Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan lebih dahulu daripada abangnya Haji Wan Muhammad.
Jika kita teliti pemikiran Haji Wan Muhammad dalam pegangan Islam tidak ada perbezaan dengan semua Mufti Kelantan yang terdahulu, kecuali yang berbeza adalah dengan adiknya sendiri Haji Wan Musa. Haji Wan Musa membawa pemikiran cara baru, yang dinamakan “Kaum Muda”. Sewaktu terjadi pertikaian hangat antara “Kaum Tua” dan “Kaum Muda” di Kelantan dalam tahun 1937 M Haji Wan Muhammad telah lama meninggal dunia, jadi beliau tidak terlibat dalam perkara-perkara khilafiyah yang ditimbulkan oleh adiknya, Haji Wan Musa itu.
Sebelum pelantikan menjadi Mufti Kelantan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal pernah dilantik oleh Sultan Mansur menjadi Imam Masjid Kota Bharu, pelantikan dijalankan pada 15 Jamadilakhir 1314 H. Pada 30 Muharam 1334 H/7 Disember 1915 M Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal dilantik menjadi ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Setelah itu dilantik pula menjadi Hakim Mahkamah Syariah Kota Bharu, pada 26 Safar 1334 H/2 Januari 1916 M. Beberapa bulan selepas tarikh tersebut barulah beliau dilantik menjadi Mufti Kelantan. Selain pelantikan-pelantikan yang tersebut Haji Wan Muhammad juga pernah dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama Kelantan pada 27 Mei 1918 M. Dilantik pula menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan oleh Sutan Muhammad IV, pada 27 September 1919 M.
Mengenang perjuangan beliau yang sangat gigih dan keberhasilannya yang demikian menyerlah dan gemilang, Sultan Muhammad IV telah mengurniakan kepada beliau Bintang Seri Mahkota Kelantan (S.M.K). Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal adalah Mufti Kelantan yang pertama memperoleh kurnia bintang yang tersebut. Dalam catatan sejarah perkembangan pesat Islam dalam pelbagai corak aktiviti di Kelantan adalah pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad IV, yang paling gigih berjuang sekurang-kurangnya ada empat orang ulama, ialah Tok Kenali, Datuk Nik Mahmud (Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan), Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id (Datuk Laksamana Kelantan) dan Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal (Mufti Kelantan).
Dalam catatan sejarah pula keempat-empat mereka selain mendapat pendidikan dari ramai guru, namun tidak dapat dinafikan yang bercorak pengkaderan khusus, yang membolehkan mereka mempunyai pelbagai kepandaian, pemikiran luas dan berpandangan jauh ke masa hadapan adalah diperoleh dari Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Kemungkinan kerana kesibukan dalam pelbagai tugas jabatan yang disandang oleh Haji Wan Muhammad bin Tuan Tabal hingga kini belum terdapat sesuatu karangan yang dihasilkan oleh beliau. Demikian juga kemungkinan juga beliau tidak sempat mendirikan institusi pendidikan sendiri, hingga kini belum diketahui nama murid yang pernah mendapat pendidikan dari beliau secara langsung. Ini bukan memperkecilkan ulama dan tokoh besar yang dibicarakan, tetapi hanya sekadar membandingkan dengan ayah beliau sendiri Tuan Tabal, bahawa Tuan Tabal menghasilkan beberapa buah karangan, di antara karangan Tuan Tabal ada yang masih diajar dan dirujuk hingga sekarang. Murid-murid Tuan Tabal pula sempat dicatat oleh peminat-peminat sejarah ulama.
0 comments:
Post a Comment