Koleksi Tulisan: ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
Ulama Nusantara
PULAU Borneo dan Kalimantan yang demikian besar melahirkan ramai ulama yang terkenal. Mereka juga telah menghasilkan karya yang menjadi bahan pengajian, bacaan dan rujukan, baik khusus untuk umat Islam Borneo dan Kalimantan mahu pun umat Islam di Nusantara.
Di antara ulama yang berasal dari Borneo/Kalimantan yang paling terkenal ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah (lahir 1122 H/1710 M, wafat 1227 H/1812 M) berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar (lahir 1217 H,1802 M, wafat 1289 H,1872 M) berasal dari Sambas, Kalimantan Barat dan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab (lahir pada 1281 H,1864 M, wafat 1339 H,1921 M) berasal dari Sarawak dan lain-lainnya.
Dalam artikel ini, penulis hanya akan membicarakan beberapa ulama yang berasal dari Pulau Borneo dan Kalimantan yang belum lagi diperkenalkan. Adapun penulis hanya menyentuh secara ringkas dan digabungkan sekali kerana maklumat yang ditemui sedikit berbanding ulama-ulama yang pernah penulis bicarakan.
Mengenai ulama Borneo dan Kalimantan dan karya-karya mereka, ringkasannya adalah seperti berikut:
Ulama Banjar dan karya mereka
Antara ulama-ulama berasal dari Banjar yang pernah penulis bicarakan adalah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang terkenal dengan penghasilan karya-karya yang banyak. Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari penyusun kitab sufi terkenal iaitu Ad-Durrun Nafis, Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dan Tuan Husein Kedah al-Banjari.
Adapun mengenai ulama-ulama Banjar dan pengkaryaan mereka yang selain tersebut adalah:
Muhammad Ali bin Hamim Al-Banjari Al-Funtiani.
Riwayat hidup Muhammad Ali bin Hamim al-Banjari al-Funtiani belum diketahui. Namun diketahui hasil karyanya berjudul Risalah Mufidah lis Shalah wal ibadah diselesaikan pada hari Jumaat 14 Zulkaedah 1317 H.
Kandungannya membicarakan pelbagai aspek mengenai sembahyang dan ibadat yang ada hubungan dengannya. Cetakan huruf batu (litografi) Haji Muhammad Amin, Kampung Melayu, No. 15 Singapura, 14 Muharam 1318 H. Belum dijumpai manuskrip mahu pun edisi cetakan selainnya.
Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin Al-Banjari
Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang menghasilkan karya pula ialah Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin. Beliau ini menjalankan aktiviti di Pontianak. Karya-karya beliau adalah:
lTajwidul Quran, diselesaikan hari Isnin, 8 Ramadan 1347 H di Pontianak. Kandungan merupakan pelajaran tajwid untuk pedoman membaca seluruh surah al-Quran. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura pada 29 Jamadilawal 1348 H/1929 M.
lTajwidul Fatihah tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran tajwid surah al-Fatihah sahaja. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348 H/1929 M.
lSabilul Muhtadin Jalan Iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran akidah Ahli Sunah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba’ah As-Saiyid Utsman, Kramat, 30 B. Betawi.
lSheikh Abdul Ghani Al-Banjari, Rad Agama Banjar Amuntai
Ulama di atas belum diketahui adakah termasuk keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ataupun bukan. Karya beliau yang telah ditemui hanya sebuah iaitu Risalah Luqthah Hasanah Bagi Hukum Khalifah, diselesaikan pada Rejab 1332 H.
Kandungannya soal jawab tentang masalah Jumaat. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura. Diberi kata pujian oleh Abdur Rahman bin Muhammad Arif Halabai al-Banjari, Haji Ja’far Khathib Banjar Halabai dan Haji Abdur Manaf bin Telawang Banjar Halabai.
Haji Abdur Qadir bin Ahmad Al-Banjari
Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari adalah ulama yang berasal dari Banjar yang menjalankan aktiviti penyebaran Islamnya di Mempawah Kalimantan Barat. Meninggal dunia dan dikebumikan di Sungai Bakau Kecil, Darat.
Karya beliau yang telah ditemui juga hanya sebuah ialah Kifayatul Mubtadi fi ‘Ilmit Tauhid. Diselesaikan hari Isnin, 14 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan tauhid dalam bentuk soal-jawab. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Nasawi, 14 Ulu Palembang.
Haji Abdur Rasyid al-Banjari
Di antara kitab Melayu/Arab yang paling popular dan banyak diajarkan orang ialah Kitab Perukunan Sembahyang Besar, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan kitab tersebut merupakan pengetahuan fardu ain yang paling lengkap.
Selain itu, dilengkapi juga dengan berbagai-bagai amalan yang menjadikan khabar kegembiraan untuk dunia dan akhirat. Terdapat juga tentang khutbah Jumaat dan khutbah nikah.
Tercatat pada semua edisi cetakan, “Diambil daripada karangan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar…..” Selain dalam Bahasa Melayu, kitab ini juga terdapat terjemahan dalam bahasa Bugis, Sunda dan Jawa. Dicetak oleh Mathba’ah al-Aminiyah, nombor 12 dan 14, Baghdad Street, Singapura, bertarikh 23 Zulhijjah 1352 H/ 9 Mac 1935 M, dicetak dengan huruf litograf.
Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan masih dicetak serta banyak diajarkan di seluruh dunia Melayu hingga kini. Walaupun karyanya sangat terkenal, namun riwayat hidup penyusunnya masih gagal dikesan.
Haji Ahmad bin Haji Abdus Shamad al-Banjari
Tokoh ini juga tidak dapat dikesan sejarah hidupnya, hanya dijumpai sebuah karya berjudul Nafaisul Aurad, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisannya.
Kandungan merupakan kumpulan amalan-amalan pilihan yang dipetik dari kitab-kitab yang muktamad sebahagiannya berasal daripada Rasulullah s.a.w. Dicetak oleh Percetakan an-Nashar, Pontianak, Indonesia.
Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka
Apabila kita membicarakan ulama Pontianak maka dapat dibahagi dua. Pertama, ulama yang berasal dari Pontianak atau Kalimantan Barat sendiri dan kedua ulama yang datang dari luar.
Disebabkan pendiri Kerajaan Pontianak berasal dari Arab keturunan Rasulullah s.a.w marga ‘Al-Qadri’, maka beberapa ulama yang pernah berpengaruh di Mekah atau tempat lain di tanah Arab pernah tinggal dan mendapat kedudukan tinggi dan terhormat di Kerajaan Pontianak.
Di antara mereka; Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (lahir 1266 H/1850 M, wafat 1343 H/1924 M), sewaktu di Mekah adalah Mufti Mazhab Syafie. Umat Islam Mazhab Syafie seluruh dunia, bahkan golongan mazhab lain pun pada zamannya tahu mengenai ulama besar ini.
Setelah beliau berhijrah ke Riau-Lingga, seharusnya mendapat kedudukan tertinggi dalam bidang agama di kerajaan itu, namun Sultan Pontianak tidak membiarkan ulama besar itu tinggal di Riau-Lingga. Seboleh-bolehnya atau dengan apa cara sekalipun Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi mesti diberi tempat yang paling istimewa di Kerajaan Pontianak.
Maka Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi tinggal di Pontianak dalam masa beberapa tahun. Dalam satu buku catatan yang dijumpai di Pontianak ada dinyatakan bahawa ayahnya iaitu Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi pada 1295H pernah datang ke Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.
Dalam artikel ini penulis dahulukan dengan memperkenalkan ulama dan karya-karya mereka yang berasal dari Pontianak seterusnya diperkenalkan pula ulama-ulama dari luar.
Haji Muhammad Qasim bin Nakhoda Haji Ahmad bin Abdullah (Dato’ Senara)
Di antara ulama yang berasal dari Pontianak yang menghasilkan karya ialah Haji Muhammad Qasim. Nama lengkapnya, Haji Muhammad Qasim bin Nakhoda Haji Ahmad bin Abdullah (Dato’ Senara) bin Ali (Dato Bendahara di Kuantan) bin Tuan Kadi Ahmad.
Wafat dalam usia lebih dari 100 tahun, hari Rabu, pukul 9.30 pagi, pada Rabiulawal 1341 H, di Kuala Maras, Jemaja, Pulau Tujuh (Kepulauan Riau). Nampaknya hasil karya beliau dalam tahun 1238 H adalah mendahului karangan ulama-ulama Pontianak yang lainnya.
Karya yang dimaksudkan ialah berjudul Ushulud Din fi Sabilil I’tiqad, diselesaikan pada 2 Syawal 1238 H. Kandungan membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang kedua Mathba’ah Al-Ikhwan, Singapura, awal Rabiulawal 1337H.
Jika kita perhatikan jarak waktu dari karya di atas diselesaikan (1238 H) hingga beliau wafat 1341H ialah 103 tahun. Sekiranya sewaktu menulis itu beliau berusia 20 tahun, maka ini bererti beliau wafat dalam usia 123 tahun.
Paduka Seri Sultan As-Saiyid Utsman Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan As-Saiyid Asy-Syarif Abdur Rahman Ibni Al-Marhum Al-Habib Husein Al-Qadri
Nama yang tersebut di atas adalah seorang Sultan di Kerajaan Pontianak. Baginda menterjemah karya berjudul Tuhfah al-Ikhwan fi Fadhli ar-Rajab wa asy Sya’ban wa ar-Ramadan, diselesaikan pada hari Isnin, 16 Rabiulawal 1244 H.
Nama pengarang asal ialah Syeikh Ahmad bin Majjazi al-Qisyti asy-Syafi Yahya. Namun yang dijumpai sekarang adalah merupakan salinan Ali bin Khathib Jailani ibni al-Imam Muhammad bin Abdullah, putera Siak Seri Inderapura.
Kandungan pada halaman depan terdapat mohor/cop Sultan Saiyid Utsmani ibni Saiyid Abdur Rahman al-Qadri. Pada halaman akhir tercatat, “Pada hijrah an-Nabi s.a.w. sanah 1244 kepada enam likur hari bulan Rabiulawal, hari Isnin, pukul 10, ketika itu khatam al-kitab Tuhfah al-Ikhwan Paduka Seri Sultan as-Saiyid asy-Syarif Abdur Rahman al-Marhum al-Habib Husein al-Qadri di dalam negeri Pontianak, dalam Kampung Saiyid asy-Syarsyaikh al-Ba’abud adanya. Yang menyurat al-faqir ialah Taala, iaitu Ali bin Khathib Jailani ibni al-Imam Muhammad bin Abdullah al-walad al-bilad Siak Seri Inderapura”.
Kandungan dalaman secara keseluruhan mengenai peristiwa hari kiamat dan mengenai akhirat. Manuskrip diperoleh di Kampung Dalam Bugis, Pontianak di persekitaran Istana Qadhariyah/Istana Sultan Pontianak.
Saiyid Hasan Bin Saiyid Abdullah Al-Aidrus, Kampung Tengah, Pontianak
Tokoh di atas menghasilkan karya berjudul Tanaman Padi, diselesaikan pada 30 Rabiulakhir 1252 H. Kandungan menceritakan asal usul kejadian padi, dan lain-lain.
Syarif Ahmad Bin Saiyid Hasan Al-Haddad Pontianak
Beliau pula menghasilkan karya berjudul Risalatul Fiqh. Judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan pada 13 Jamadilawal 1290 H.
Kandungan membicarakan fikah serta gantungan maknanya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadhriyah (Istana Kesultanan Pontianak).
Haji Muhammad Arif Bin Encik Muhammad Thahir Pontianak
Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Arif bin Encik Muhammad Thahir bin Malim Sutan bin Jupa Suara bin Dato’ Bendahara bin Tuan Kadi Ahmad. Ibunya, Zainab binti Abdul Mannan melahirkan tokoh ini di Kampung Tambelan, Pontianak, pada Rabu, pukul 4 petang 29 Rabiulakhir 1279 H. Wafat pada Ahad, pukul 1 tengah hari pada 6 Zulkaedah 1353 H di Kampung Tambelan, Pontianak.
Di antara karya tokoh ini yang telah ditemui adalah:
lMatnul Ajrumiyah, diselesaikan di Semarang, 29 Muharam 1291 H. Kandungan membicarakan nahwu Arab yang terkenal diberi gantungan makna Melayu pada setiap perkataan Arabnya. Merupakan terjemahan karangan Sheikh Shonhaji. Manuskrip diperoleh manuskrip di Pontianak, Kalimantan Barat bekas dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh perolehan pada Jumaat, 11 Rabiulawal 1423 H/24 Mei 2002 M.
lSebuah buku catatan yang terkandung di dalamnya pertama sekali asal usul datuk neneknya, ialah Dato’ Bendahara. Dilanjutkan dengan peristiwa mulai berdiri Kerajaan Pontianak dan tahun-tahun terjadi peperangan antara Kerajaan Pontianak dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya.
Tidak kalah juga pentingnya catatan tahun lahir, wafat dan peristiwa yang terjadi mengenai keluarga besar penulisnya (Haji Muhammad Arif bin Encik Muhammad Thahir). Catatan ini diperlengkap dengan pelbagai amalan untuk kepentingan dunia dan akhirat.
Adapun mengenai ulama-ulama yang berasal dari Pontianak ini masih ramai yang perlu diperkenalkan. Sama ada mengenai riwayat hidup mahu pun karya-karya mereka. Antaranya ialah Pangeran as-Saiyid as-Syarif Abdur Rahman bin Saiyid Yusuf al-Qadri iaitu tokoh istana Kerajaan Pontianak, Haji Ismail bin haji Mushthafa Pontianak, Sultan Kerajaan Pontianak iaitu Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri Pontianak, Sheikh Husein bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani dan ramai lagi.
Oleh itu, kesinambungan daripada tersebut akan dibicarakan lagi dalam artikel seterusnya.
0 comments:
Post a Comment