Saturday, September 17, 2011

Syeikh Muhammad Sa’id Pasai bermakam di Tanah Ujung Lidah

PADA mulanya ulama bernama Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa yang dikatakan berhasil mengislamkan Raja Patani pada zaman dulu yang akan diriwayatkan ini hanyalah berasal daripada cerita rakyat. Sehingga walaupun belum begitu lengkap ditemui datanya, namun saya memberanikan diri memperkenalkannya dalam buku yang berjudul Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara.

Dalam simpanan saya ada sebuah manuskrip Tarikh Fathani yang dikatakan berumur melebihi 300 ratus tahun yang di dalamnya juga menceritakan kisah Syeikh Muhammad Sa'id mengislamkan Raja Patani. Pada tahun 1989 sewaktu saya diberikan kepercayaan oleh Ketua Penolong Pengarah Balai Pameran Pusat Islam Kuala Lumpur (sekarang Muzium Islam) mengkatalog manuskrip-manuskrip di pejabat itu telah saya temui pula sebuah manuskrip berjudul Sejarah Fathani karya Syeikh Utsman Jalaluddin yang dalamnya ada menceritakan tentang Syeikh Muhammad Sa'id itu.

Beberapa versi sejarah Patani kadang-kadang menceritakan peranan Syeikh Shafiyuddin mengislamkan Raja Patani bukan Syeikh Muhammad Sa'id sedangkan jalan ceritanya adalah sama. Yang berbeza hanyalah watak pelaku sebagai ulama dan watak raja yang diislamkan oleh ulama itu. Manuskrip milik saya tersebut adalah dasar bagi saya untuk menceritakan Syeikh Muhammad Sa'id itu dengan perbandingan beberapa manuskrip dan beberapa edisi sejarah Patani yang diterbitkan.

Sama ada Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi ataupun Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa kedua-duanya memang pernah wujud sebagai pelaku penting dalam penyebaran Islam di bumi Patani dan sekitarnya. Kesahihan cerita rakyat kemudian dapat dibuktikan dengan beberapa bahan bertulis dan kedua-dua kubur ulama tersebut telah ditemui. Kubur Syeikh Shafiyuddin yang terkenal dengan gelar Tok Raja Faqih itu terletak di ‘Sungai Pandan’ (masih masuk dalam kawasan Kerisik, Patani) sedang kubur Syeikh Muhammad Sa'id terletak di ‘Tanah Ujung Lidah, Kampung Pasai’, Patani.

Bekas tapak rumah

Saya menziarahi kedua-dua kubur ulama yang bersejarah itu pada 11 Jamadilawal 1415 H/16 Oktober 1994 M. Mula-mula saya dan rombongan ke Perigi Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang terletak di Kampung Parit Anak Sungai Kerisik. Arah hadapannya terdapat rumpunan buluh dan mara ke depan lagi di situlah terletak Sungai Kerisik. Tidak jauh dari perigi, mengarah ke sebelah kanan dari arah masuk di situlah tempat asal bekas tapak rumah kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Perjalanan dilanjutkan ke kubur Syeikh Shafiyuddin di Sungai Pandan, masih dalam kawasan Kerisik juga. Bentuk kubur agak kecil, di sebelah arah menjurus ke kiblat (sebelah Barat) terdapat kubur yang agak besar yang dipagari dengan batu bata. Di atas kubur hanya terdapat dua nisan daripada batu asli bukan nisan yang telah diproses.

Perjalanan diteruskan ke Kampung Pasai untuk menziarahi kubur Syeikh Sa'id. Penghuni kampung itu sekarang ialah keturunan Syeikh Sa'id. Salah

seorang keturunannya yang banyak

mengetahui sejarah Syeikh Sa'id di kampung itu ialah Tuan Guru Haji Muhammad Shalih, tetapi tidak sempat

saya temui kerana beliau meninggal dunia kira-kira sebulan sebelum lawatan. Tetapi kira-kira beberapa bulan yang

lalu Ustaz Ismail Ishaq dapat mencatat beberapa cerita daripada beliau.

Menurut Ustaz Ismail, beliau mendengar cerita Tuan Guru Haji Muhammad Shalih, “sekitar lebih kurang puluhan tahun yang lalu, atau beberapa tahun sesudah perang dunia Kedua, telah datang seorang Arab dari Mesir bernama Syeikh Muhammad Dahlan, umurnya ketika itu sekitar 60 tahun, yang mengaku bahawa dia adalah keturunan Syeikh Sa'id al-Barsisa. Dia membawa sepotong peta lama, kertas agak tebal yang menunjukkan kubur Syeikh Sa'id yang terletak di Tanah Ujung Lidah.”

Tidak jauh dari arah masuk ke Tanah Ujung Lidah arah ke sebelah kanan ada sebuah kubur yang dinamakan Kubur Tok Kemiri. Diriwayatkan bahawa Tok Kemiri itu ialah seorang pengawal Syeikh Sa'id. Yang dinamakan Tanah Ujung Lidah itu bentuknya benar-benar menyerupai lidah. Barangkali di situlah perumahan, masjid dan pondok-pondok bekas Syeikh Sa'id menjalankan tugas dakwah dan pendidikan Islamiahnya.

Di atas tanah itu terdapat pohon-pohon besar dan semak-semak semacam disengajakan tidak dijadikan tanah untuk bercucuk tanam. Sedangkan di bahagian kiri, kanan, depan dan belakang dijadikan persawahan. Di bahagian pangkal Tanah Ujung Lidah terdapat sebuah perigi, iaitu perigi Syeikh Sa'id. Setelah dua pertiga dari pangkal, di sebelah kiri masuk terletak di bahagian tepi sekali terletak kubur Syeikh Sa'id. Di bahagian kaki, merupakan sempadan sawah dan Tanah Ujung Lidah terdapat sepohon kayu besar yang seolah-olah turut berdoa terhadap Wali Allah yang berkubur di bawahnya, serta menghening dan menyejukkan suasana alam sekitar, alam syahadah dan alam arwah.

Hanya sebuah kubur di situ. Kubur dibina dengan batu bata tua, tingginya melebihi lutut dan warnanya agak menghijau kerana berlumut. Nampaknya kubur tersebut masih banyak kesan-kesan diziarahi orang, sebagai tempat orang membayar nazar. Sewaktu saya datang ke situ ditemui wang syiling bertaburan di bahagian kepala kubur.

Sebagaimana dinyatakan di atas bahawa saya memiliki beberapa versi manuskrip sejarah Patani yang antaranya sebuah menceritakan kisah Syeikh Sa'id mengislamkan Raja Patani. Versi manuskrip yang akan dipetik dan ditransliterasi di bawah ini diperkirakan berusia sekitar 300 tahun. Bagi saya, ia merupakan manuskrip sejarah Patani yang tertua yang pernah saya lihat dan ketahui. Fizikalnya dalam keadaan baik, mudah dibaca dan lengkap kecuali pada halaman pertama dan halaman kedua kanan dan kiri pada baris keempat terpotong sehingga tak dapat dibaca, yang hilang hanya selembar halaman empat.

Setelah saya bandingkan beberapa halaman yang lengkap antara manuskrip yang ada pada saya dengan Hikayat Patani yang ditransliterasi oleh Siti Hawa Haji Salleh yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, ternyata kalimat-kalimatnya adalah sama. Menurut Siti Hawa, kajian yang diguna berdasarkan manuskrip yang didapati daripada Library of Congress, Washington. Walau bagaimanapun beberapa petikan transliterasi yang dimuat dalam artikel ini saya ambil daripada manuskrip asli versi koleksi saya sedangkan karya Siti Hawa hanyalah sebagai perbandingan.

Maklumat mengenai Syeikh Sa'id pada halaman-halaman yang hilang saya ditinggalkan saja rasanya kerana kurang perlu dibicarakan di sini. Di antara contoh petikan transliterasi yang dapat dibaca adalah seperti berikut, “... itulah maka titah raja menyuruh memalu canang ini. Barang siapa bercekap mengubat dia, jika sembuh penyakitnya diambil [oleh] raja jadi mena[n]tu.”

Maka kata Syeikh Sa'id, “Kembalilah tuan, sembahkan [kepada] raja [bahawa] yang jadi mena[n]tu raja itu, hamba tiada mau. [Tetapi] jikalau mau raja masuk agama Islam, hambalah bercekap mengubat penyakit raja itu.” Setelah didengar oleh penghulu canang itu, maka ia pun segera kembali bersembahkan kepada Temenggung seperti kata Syeikh Sa'id itu. Arakian maka Temenggung pun dengan segera mema[k]lum akan Bendahara. Setelah Bendahara mendengar kata Temenggung demikian itu maka Bendahara pun masuk menghadap raja menyembahkan seperti kata Syeikh Sa'id Pasai itu.

Mengislamkan raja

Arkian maka Syeikh Sa'id pun dipanggil oranglah. Hatta, maka Syeikh Sa'id pun datanglah menghadap raja. Maka titah baginda pada Syeikh Sa'id, “Sungguhkah tuan hamba bercekap mengubat penyakit hamba ini?” Maka sembah Syeikh Sa'id, “Jikalau tuanku mau masuk agama Islam, hambalah cekap mengubat penyakit Duli Syah Alam itu.” Maka titah raja, “jika sembuh penyakit hamba ini, barang kata tuan hamba itu hamba turutlah.”

Disingkatkan ceritanya, akhirnya Syeikh Sa'id berhasil mengislamkan raja itu, lalu ditukarnya dengan nama Islam, iaitu Sultan Ismail Syah Zhillullah fil Alam. Syeikh Sa'id sebagai pelaku mengislamkan Raja Patani yang saya petik daripada manuskrip yang ada pada saya seperti di atas yang sesuai juga dengan beberapa sumber di antaranya manuskrip Sejarah Fathani karya Syeikh 'Utsman Jalaluddin, Hikayat Patani karya A. Teeuw dan D.K. Wyatt, jilid 1, The Hague-Martinus Nijhoff, 1970.

Juga demikian dalam Patani Dahulu dan Sekarang karya A. Bangnara. Tetapi berbeza dengan manuskrip Sejarah Patani yang ditulis tahun 1202 H, koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelas MS 809 dan yang ditulis tahun 1230 H, koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelas MS 927.

Kedua-dua manuskrip itu menyebut pelaku yang mengislamkan raja Patani bernama Antira ialah Syeikh Shafiyuddin bukan Syeikh Sa'id.

Raja Patani setelah memeluk agama Islam diganti namanya dengan nama Sultan Muhammad Syah bukan Sultan Ismail Syah. Manuskrip Sejarah Patani karya Tengku Putra bin Sultan Abdul Muthallib Teluban dan Sejarah Kerajaan Melayu Patani karya Ibrahim Syukri juga sama dengan MS 809 dan MS 927. Keempat-empat sumber tersebut tidak menyebut nama Syeikh Sa'id sebagai pelaku mengislamkan raja Patani. Ada pun manuskrip sejarah yang ada pada saya menyebut pelaku mengislamkan raja Patani memang terdapat nama kedua-dua ulama itu, Syeikh Sa'id dengan cerita tersendiri sedangkan Syeikh Shafiyuddin lain pula ceritanya.

Tahun berapa Syeikh Sa'id datang ke Patani, dalam semua versi sejarah Patani tidak pernah menyatakan hal itu. Haji Abdul Halim Bashah dalam keraguan, tanpa menyebut rujukan, menentukan bahawa Syeikh Sa'id mengislamkan Phya Tu Nakpa pada tahun 1457. Dia telah menyalin tulisan A. Bangnara dalam buku Patani Dahulu dan Sekarang, yang menyebut, “Ada pun raja Patani itu dipercayai memeluk agama Islam kira-kira pada abad ke 15, iaitu kira-kira tahun 1457 M.” Telah disalin juga oleh Siti Hawa Haji Salleh dalam Hikayat Patani (hlm. XXI).

Nampaknya demikian yang tertulis pada peta buku Jaringan Ulama oleh Dr. Azyumardi Azra (hlm. 35), yang dikatakannya didapati daripada D.J.M, Tate, The Making of Modern South-East Asia, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1977. Bagi saya semua tahun yang disebutkan masih diragukan kerana dalam salasilah yang ada pada saya berdasarkan yang diperoleh daripada Tuan Guru Haji Mahmud, disebutkan bahawa Syeikh Shafiyuddin tiba di Paya Patani tahun 1400 M.

Dalam salasilah yang sama disebutkan juga, “... dahulu daripadanya ialah Syeikh Sa'id, Tok Pasai di Pasir Bira dan Syeikh Gombak Abdul Mubin.” Menurut penyelidikan saya yang terakhir, berdasarkan manuskrip salah sebuah versi sejarah Patani yang ada pada saya, diperoleh kenyataan bahawa Syeikh Sa'id memang lebih dulu sampai di Patani jika dibandingkan dengan Syeikh Shafiyuddin. Walau bagaimanapun keempat-empat mereka sempat bertemu dan ada hubungan kerjasama dalam bidang penyebaran Islam di Patani.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hostgator Discount Code