Saturday, September 17, 2011

Syeikh Muhammad Murid Rawa pengulas hadis dan fikah

ISNIN lalu telah diungkapkan serba ringkas riwayat Syeikh Muhammad Murid Rawa, ayah kepada ulama yang diriwayatkan dalam artikel hari ini.

Ada seorang ulama atau tokoh yang berasal dari Rao atau Rawa yang berjasa dalam Perang Paderi (Imam Bonjol) di Sumatera Barat yang digelar ‘Tuanku Rao’.

Nama sebenar ‘Tuanku Rao’ tidak jelas dan ada pertikaian pendapat. Ada beberapa orang berpendapat kemungkinan nama sebenar ‘Tuanku Rao’ ialah Syeikh Muhammad Murid Rawa. Kisah anaknya, Syeikh Muhammad Shalih Rawa dijumpai sebuah karyanya judul Fath al-Mubin.

Sehingga saya menulis artikel ini, sekurang-kurangnya ada tiga kitab Melayu/jawi dengan judul awalnya dengan Fath al-Mubin. Ada Fath al-Mubin karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Sebuah lagi ialah Fath al-Mubin karya Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau.

Bahan bertulis lain mengenai ulama ini dijumpai hanya ditulis oleh Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair. Itu pun sangat ringkas, hanya lapan baris dalam bahasa Arab.

Namun bagi saya, bahan tersebut dapat menolong melengkapkan bahan-bahan mengenai ulama ini yang saya catat sejak tahun 1977 lagi.

PENDIDIKAN DAN AKTIVITI

Nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid al-Khalwati as-Sammani asy-Syazili ar-Rawi (ar-Rawa). Apabila memerhatikan rangkaian nama beliau, dapat kita tafsirkan beberapa perkara.

Yang pertama, yang dimaksudkan dengan istilah al-Khalwati iaitu Tarekat Khalwatiyah. Ia adalah tarekat sebelum pembaharuan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman al-Madani (lahir 1130 H/1717 M, riwayat lain 1132 H/1720 M, wafat 1189 H/1776 M).

Tarekat ini datang ke dunia Melayu sejak zaman Syeikh Yusuf al-Khalwati (wafat di Cape Town Afrika Selatan, 23 Zulkaedah 1110 H/23 Mei 1699 M).

Yang kedua, yang dimaksudkan dengan istilah ‘as-Sammani’ iaitu Tarekat Khalwatiyah setelah menerima pembaharuan daripada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman al-Madani. Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman al-Madani adalah guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Jadi ada kemungkinan Syeikh Muhammad Shalih Rawa mempunyai hubungan perguruan dengan ulama yang berasal dari Palembang itu. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani lebih dulu muncul daripada Syeikh Muhammad Shalih Rawa. Mungkin ayahnya (Syeikh Muhammad Murid Rawa) sebaya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Yang ketiga, istilah ‘asy-Syazili’ iaitu Tarekat Syaziliyah ialah tarekat yang dibangsakan kepada Syeikh Abu Hasan asy-Syazili (wafat 615 H/1219 M, riwayat lain 655 H/1257 M, riwayat lain wafat 656 H/1258 M).

Syeikh Muhammad Shalih Rawa datang ke Mekah mula-mula belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Tetapi menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair, Syeikh Muhammad Shalih Rawa belajar dengan Saiyid Ahmad al-Marzuqi ad-Dharir al-Maliki dan Syeikh Utsman ad-Dimyathi asy-Syafi’ie.

Menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair juga, Syeikh Muhammad Shalih Rawa juga pengamal Tarekat Sammaniyah, tetapi beliau tidak menjelaskan apakah tarekat itu diterimanya terus dari Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani atau pun daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani atau pun ulama-ulama lainnya.

Mengenai beliau sebagai pengamal Tarekat Sammaniyah itu cukup jelas, kerana beliau sendiri pun menulis nama Tarekat Sammaniyah itu di hujung namanya. Bahkan beliau juga penganut Tarekat Khalwatiyah dan Tarekat Syaziliyah.

Pada mukadimah karyanya, beliau menulis: “Telah berkata seorang fakir yang harap-harap ia akan maaf Tuhannya, iaitu Muhammad Shalih anak Muhammad Murid yang Khalwati, Sammani yang Syazili tarekatnya. Rawa tempat diperanakkan dan tetap.”

Selanjutnya Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair meriwayatkan bahawa keseluruhan gurunya telah memberi izin kepadanya untuk mengajar, dan beliau mengajar di Masjidil Haram. Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Muhammad Shalih Rawa adalah seorang ulama yang banyak berzikir dan beribadat.

Murid-muridnya yang sebahagian besar berasal dari Tanah Jawi/Asia Tenggara banyak yang menjadi ulama dan menyebarkan Islam. Mereka telah pulang ke tempat asal mereka masing-masing.

KARYA DAN PEMIKIRAN

Karya beliau yang telah dikumpulkan hanya empat saja, iaitu:

1. Fath al-Mubin, diselesaikan pada 20 Zulhijjah 1272 H/22 Ogos 1856 M.

2. Kitab ash-Shaid wa az-Zabaih, diselesaikan tahun 1272 H/1856 M.

3. Kitabul Adh-hiyah, diselesaikan tahun 1272 H/ 1856 M.

4. Kitabul Ath’imah, diselesaikan tahun 1272 H/1856 M.

Sebab-sebab beliau mengarang kitab Fath al-Mubin dijelaskan pada mukadimah. Beliau berkata: “Dan tatkala adalah tahun tujuh puluh dua tahun kemudian daripada seribu dua ratus hijrah Nubuah (1272 H, pen:) atasnya afdhalus salam, telah menuntut daripadaku setengah daripada sekalian saudara di dalam agama Allah Taala bahawa aku bahasakan akan sekalian hadis yang empat puluh dan sekalian syarahnya daripada kalam Arab yang asli dengan bahasa Jawi dan Melayu yang manis. Kerana ulama Jawi yang terdahulu dan ulama yang terkemudian belum membahasakan mereka itu dengan bahasa Jawi dan bahasa Melayu.”

Kitab Fath al-Mubin karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut sebenarnya adalah terjemahan Hadis Arba’in karangan Imam Nawawi yang beliau syarah secara panjang, sehingga merupakan suatu kandungan fikah dalam Mazhab Syafie.

Walaupun pada mukadimah beliau sebut bahawa hadis empat puluh ulama Jawi belum membahasnya ke dalam bahasa Melayu/Jawi, tetapi sebenarnya ia telah dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Beliau terjemahkan hadis itu kemudian disyarah dengan panjang menurut pandangan dari segi tasauf. Oleh itu, saya berpendapat bahawa terjemahan yang dilakukan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu adalah terjemahan dan syarah Hadis Arba’in Imam Nawawi yang pertama dalam bahasa Melayu. Syeikh Muhammad Shalih Rawa itu adalah orang yang kedua, tetapi huraiannya secara fikah adalah merupakan yang pertama.

Apabila kita pandang sepintas lalu maka Fath al-Mubin karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa itu dari segi model, ukuran tebal dan lain-lain banyak persamaannya dengan Sabil al-Muhtadin karya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Bughyah ath-Thullab karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Ketiga-tiga kitab itu menjurus kepada ajaran fikah bahagian ibadat. Dari segi kandungan walau pun sama-sama dalam Mazhab Syafie namun di sana sini adalah kelebihan-kelebihan ataupun ada kekurangan-kekurangannya yang tersendiri. Sebagai contoh, antaranya perbahasan mengenai sujud tilawah dan sujud syukur. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Bughyah ath-Thullab tidak mencantumkan lafaz niat tetapi Syeikh Muhammad Shalih Rawa dalam Fath al-Mubin menyebut lafaz niat sujud tilawah:

Ertinya, “Sengaja aku sujud kerana membaca al-Quran, kerana Allah Taala, Allahu Akbar.”

Lafaz niat sujud syukur pula ertinya, “Sengaja aku sujud syukur kerana Allah Taala, Allahu Akbar.”

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut bahawa sunat mengangkat tangan ketika takbiratul ihram pada konteks sujud syukur dan sujud tilawah itu, tetapi Syeikh Muhammad Shalih Rawa meninggalkan kalimat yang memberi penjelasan perkara itu.

Syeikh Muhammad Shalih Rawa menulis, “Wajib niat sujud tilawah itu di luar sembahyang dan yang dalam sembahyang.” Niat sujud tilawah yang dalam sembahyang beliau huraikan agak panjang. Sedang Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Tidak wajib niat sujud tilawah di dalam sembahyang bersalahan dengan sujud di luar sembahyang.”

Syeikh Muhammad Shalih Rawa menulis, “Rukun sujud tilawah di dalam sembahyang itu ada dua perkara. Pertama, sujud, dengan niat dalam hati, tidak dengan lidah. Kedua, sujud, sekali sujud sahaja.” Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Jika sujud di dalam sembahyang hendaklah takbiratul ihram tatkala tunduk kepada sujud dan takbir tatkala bangkit daripadanya, tetapi jangan mengangkat kedua tangannya dan jangan duduk istirehat kemudian daripada sujud.”

Perbezaan

Masih banyak perbezaan yang belum perlu dibicarakan. Yang saya bicarakan hanyalah dijadikan sebagai contoh saja.

Karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang diberi judul Kitab ash-Shaid wa az-Zabaih serupa dengan judul sebuah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kandungannya dalam beberapa perbahasan juga ada perbezaan.

Di dalam karya yang tersebut Syeikh Muhammad Shalih Rawa meriwayatkan bahawa di laut negeri Rom ada sejenis ikan seperti perempuan, warnanya kuning-merah. Mempunyai faraj (kemaluan) yang besar dan payudara. Menurut beliau, binatang itu diceritakan oleh Syeikh Damiri dalam Hayatul Hayawan.

Selain itu, Syeikh Muhammad Shalih Rawa juga menceritakan bahawa ada sejenis binatang yang tinggal di pulau China. Binatang itu dinamakan ‘Rakh’ dan dalam bahasa Melayu dinamakan garuda. Menurut beliau, sayapnya yang satu panjangnya seribu depa. Dia dapat menyambar seekor gajah seperti helang menyambar seekor tikus yang kecil. Binatang itu mempunyai kuku yang panjang. Telurnya pula sebesar sebuah bukit.

Syeikh Muhammad Shalih Rawa menutup Fath al-Mubin pada puluhan bulan Ramadan 1272 H/1856 M di Mekah. Karyanya yang lain diselesaikan pada 20 Zulhijah 1272 H/22 Ogos 1856 M, di Mekah.

Semua karya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut disatukan cetakannya, ditashih oleh Syeikh Abdullah bin Ibrahim al-Qadi (Kedah) dan Syeikh Muhammad Sa’ad Filfulani. Yang sempat ditemukan hanyalah cetakan yang kedua oleh Mathba’ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Mesir di mana perbelanjaan mencetak ditaja oleh Syeikh Salim bin Sa’ad bin Nabhan dan saudaranya Ahmad, Surabaya.

Yang mengizinkan penerbitannya ialah cucu beliau Syeikh Hasan bin Ahmad Saman bin Muhammad Shalih ar-Rawa.

KETURUNAN DAN WAFAT

Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Muhammad Shalih Rawa memperoleh dua anak iaitu Ahmad dan Muhammad. Ada pun Ahmad itu anaknya ramai, mereka melibatkan diri dalam pengurusan jemaah haji dari tanah Jawi (Syeikh Haji).

Ahmad yang tersebut masih mengekalkan amalan Tarekat Sammaniyah yang beliau terima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut. Oleh itu, nama beliau juga dikenali dengan Ahmad Saman Rawa. Salah seorang anaknya, Syeikh Hasan Rawa yang memberi kebenaran menerbitkan kitab datuk/neneknya Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang tersebut di atas. Ada pun anak Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang bernama Muhammad tidak memperoleh anak.

Salah seorang Syeikh Haji pada beberapa waktu yang lalu bernama Syeikh Jamal Rawa dipercayai adalah keturunan Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang diriwayatkan ini.

Ada pun tahun wafat Syeikh Muhammad Shalih Rawa dipercayai adalah beberapa bulan selepas beliau menyelesaikan kitab-kitab yang tersebut, iaitu masih dalam lingkungan tahun 1272 H/1856 M. Beliau meninggal dunia di Mekah dan dikebumikan di perkuburan Ma’la, Mekah.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hostgator Discount Code