Saturday, September 17, 2011

Malikush Shaleh penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai

RAMAI pengkaji sejarah menulis bahawa kerajaan Islam yang pertama di Nusantara atau Alam Melayu ialah Samudera Pasai yang didirikan oleh Malikush Shaleh. Sebelum bernama Malikush Shaleh dalam Hikayat Raja-Raja Pasai, beliau juga bernama Merah Sile. Dalam versi yang lain pula bernama Merah Selu. Ayahnya pula bernama Merah Gajah.

Menurut penyelidikan terdahulu berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai, Merah Gajah dikatakan penganut agama Hindu. Tetapi dalam penyelidikan yang terbaru, bahawa ayah Malikush Shaleh / Merah Selu adalah penganut agama Islam yang berasal dari Perlak. Hal ini dapat dibuktikan melalui keturunan-keturunan yang diketahui dan akan dibicarakan dalam artikel ini.

Nama ayah beliau ialah Makhdum Malik Abdullah (Meurah Seulangan / Seurah Jaga) anak Makhdum Malik Ibrahim (Meurah Silo) anak Makhdum Malik Mesir (Meurah Mersa / Toe Me rsa) anak Makhdum Malik Ishaq (Meurah Ishaq) anak Sultan Makhdum Malik Ibrahim Syah Johan Serdaulat, Sultan Kerajaan Perlak yang memerintah pada tahun 365H/976M - 402H/1012M.

Berdasarkan tahun tersebut, ini membuktikan bahawa Kerajaan Perlak jauh lebih awal berdirinya dari kerajaan Islam Samudera Pasai.

Menurut penyelidikan terdahulu, Malikush Shaleh adalah nama setelah beliau memeluk agama Islam yang diberi oleh seorang ulama yang datang dari Mekah bernama Syeikh Ismail.

Mengenainya yang ditulis dalam hikayat, “Sebermula maka bermimpi Merah Selu, dilihatnya dalam mimpinya itu ada seorang orang menopang dagunya dengan segala jarinya, demikian katanya, “Hai Merah Selu, ujar oleh mu dua kalimah syahadah!”.

Maka sahut Merah Selu, “Tiada hamba tahu mengucap akan dia”. Maka ujarnya, “Bukakan mulutmu!”. Maka dibukanya mulut Merah Selu, maka diludahinya mulut Merah Selu itu. Maka ujarnya akan merah Selu, “Hai Merah Selu engkaulah Sultan Malikush Shaleh namamu, sekarang Islamlah engkau dengan mengucapkan dua kalimah itu. Sejak itulah dia menjadi sultan sebuah kerajaan Islam yang bernama Samudera Pasai”.

Walaupun namanya telah banyak disebut dalam beberapa hikayat, namun riwayat hidupnya secara terperinci masih belum jelas. Tarikh dan tempat kelahirannya juga belum diketahui secara pasti. Ada pun wafatnya diketahui kerana tercatat pada batu nisan kuburnya di Pasai.

Dicatatkan bahawa beliau mangkat pada bulan Ramadan tahun 696H kira-kira bersamaan dengan tahun 1297M.

Mengenai pendidikannya, penulis telah menemui salasilah pertalian daripada guru ke murid dalam sebuah manuskrip yang berjudul Najmul Huda karangan Muhammad Yusuf bin Abdul Karim Hindi.

Manuskrip tersebut, penulis memperolehinya di Kemaman, Terengganu pada Julai 1998 yang sebelumnya dimiliki oleh Syeikh Ahmad bin Syeikh Abdullah. Kandungan keseluruhan manuskrip ialah mengenai akidah dan tasawuf. Dalam manuskrip tersebut, dinyatakan bahawa Sultan Malikush Shaleh menerima ilmu daripada Hamad Akhbar. Pertalian daripada Hamad Akhbar berasal daripada Syeikh Syibli, berketurunan daripada Yunus ibnu Malik hingga sampai kepada Saiyidina Ali. Pada halaman yang sama, disebutkan pula bahawa penurunan ilmu daripada Sultan Malikush Shaleh kepada Sultan Ismail, turun kepada Zainal Abidin, turun kepada Sidi Ali, dan masih berhubung terus sehingga kini.

Setelah diteliti, terdapat banyak perbezaan di antara penyelidikan terdahulu dengan terkini mengenai Malikush Shaleh. Penyelidikan terdahulu mendapati bahawa kerajaan Islam yang pertama di Nusantara ialah kerajaan Samudera Pasai. Golongan Orientalis yang menguatkan pendapat ini di antaranya ialah Snouck Hurgronje, J. P. Moquette, J. L. Moens, J. Hushoff Poll, G. P. Rouffaer, H. K. J. Cowan dan lain-lain.

Tetapi penyelidikan terkini pula menemui maklumat bahawa kerajaan Islam yang tertua di Nusantara ialah Kerajaan Perlak. Pendapat ini adalah berdasarkan kajian Tengku M. Junus Jamil, Kampung Alui Banda Aceh, berdasarkan dua buah manuskrip yang dimilikinya iaitu; Idah al-Haqq fi Malakat Peurelak karya Abu Ishaq Makarani dan Tawarikh Raja-Raja Pasai. Menurut sumber ini, kerajaan Samudera Pasai sudah terbina pada tahun 443H/1042M.

Kerajaan yang dikuasai oleh Dinasti Meurah Khair ini terus berjalan sehingga tahun 607H/1210M. Pada tahun tersebut, baginda Raja meninggal dunia dan tidak meninggalkan putra. Setelah itu, negeri Samudera Pasai menjadi rebutan pembesar-pembesar istana. Ini menyebabkan keadaan politik menjadi tidak stabil dan berlarutan sehingga hampir lebih kurang lima puluh tahun.

Setelah naiknya Merah Selu, yang kemudian bergelar Malikush Shaleh, keadaan politik berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Oleh itu, dengan berdasarkan sumber penyelidikan yang kedua ini, bererti Malikush Shaleh adalah sebagai penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai tetapi bukan sebagai pendiri kerajaan tersebut sebagaimana dinyatakan dalam sejarah yang terdahulu.

Setelah Sultan Malikush Shaleh mangkat pada Ramadan 696H/1297M, beliau diganti oleh puteranya bernama Sultan Muhammad Malik Zahir pada tahun 1297M - 1326M.

Mengenai Sultan Malikush Shaleh

*Mendirikan negeri Samudera Pasai

*Beliau juga dikenali dengan nama Merah Sile atau dalam versi lain bernama Merah Selu.

*Malikush Shaleh adalah nama setelah beliau memeluk agama Islam yang diberi oleh seorang ulama yang datang dari Mekah bernama Syeikh Ismail.

*Menerima ilmu daripada Hamad Akhbar.

*Malikush Shaleh adalah sebagai penyelamat kerajaan Islam Samudera Pasai.

*Ayahnya bernama Merah Gajah (berdasarkan Hikayat Raja-Raja Pasai).

*Mangkat pada Ramadhan 696H/1297M

*Pemerintahannya diganti oleh puteranya, Sultan Muhammad Malik Zahir

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hostgator Discount Code