Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Saghir Abdullah
Pada mulanya penulis tidak mengenali Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana penulis selalu diceritakan tentang kehebatan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Nik Mat Kecik al-Fathani sahaja. Oleh sebab itu, pada penyelidikan awal penulis hanya tertumpu pada biografi Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan sahabat-sahabatnya.
Ibu penulis, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani pada mulanya enggan bercerita lebih panjang mengenai ayahnya.
Namun di antara cerita yang paling awal, katanya: "Kalau kamu ingin tahu tentang ayahku hendaklah kamu merantau ke Kelantan. Di sana ada murid-murid dan anak angkat ayahku. Anak angkat dan murid angkat ayahku yang paling terkenal ialah 'Awang Kenali'. Dia ialah ulama besar dan keramat. Ada murid ayahku menjadi ulama besar Kelantan namanya 'Nik Mahmud' dan 'Haji Muhammad Sa'id'.
"Sebelum kamu dengar dan temukan riwayat ayahku dari orang lain, aku tidak akan menceritakan kisahnya semua, tapi cukup kamu ketahui bahawa ayahku pergi ke Baitulmadqis dari Mekah dengan berjalan kaki. Sewaktu beliau pulang dari Turki pernah mendapat pelbagai hadiah dari Sultan Turki, di antaranya globe dunia yang besar sehingga tidak muat pintu ketika akan dibawa masuk ke rumah...", demikian cerita ibu penulis.
Setelah itu sekitar tahun 1960-an, penulis sering terbaca tentang Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani terselit dalam riwayat beberapa ulama yang diperkenalkan di majalah-majalah dan buku-buku.
Maklumat awal yang penulis perolehi mengenai beliau adalah berupa tulisan terdapat dua sumber. Sumber pertama pernah dibicarakan oleh salah seorang muridnya, seorang orientalis iaitu, Prof. Dr. C.Snouck Hurgronje yang dimuat dalam bukunya Mecca in The Latter Part Of The Nineteenth Century.
Maklumat pertama didengar bahawa Snouck Hurgronje adalah murid Sheikh Ahmad al-Fathani melalui cerita Saiyid Muhammad Yusof Zawawi, yang ketika hidupnya pernah sebagai Mufti Terengganu. Beliau menjelaskan kepada penulis sewaktu berada di Masjid Negara pada tahun 1977. Cerita beliau tersebut dikuatkan pula dengan pelbagai catatan yang penulis temui beberapa tahun kemudiannya.
Sumber kedua ditulis oleh murid Tok Kenali dalam majalah Pengasuh, bertarikh 2 Zulkaedah 1352 H/ 15 Februari 1934 M, hari khamis, jilid ke 17, muka ke 13 dan 14.
Sedikit mengenainya penulis salin tanpa perubahan bahasa, iaitu: "....al-Allamah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang terkaya daripada ujian umpama kita ini. Betapakah tiada berkata demikian itu? Kerana ilmu yang mengandungi pelajaran agama itu masih ada lagi sekarang 60 perkara ilmu. Maka al-Allamah itu dapat empat puluh tujuh ilmunya seperti mengkhabarkan kepada penulis satu orang alim yang dipercayai khabarannya kerana dia berkebetulan pada satu masa itu ada peluang. Maka al-Allamah itu mentakrifkan 47 ilmu itu satu persatunya.
"Dan setengah-setengah ia karang ilmu itu. Maka sekarang ini, ada juga setengahnya seperti syaikhuna al-Kanali, dapat dua puluh empat. Kalau pembaca-pembaca hendak tahu insya-Allah saya akan sebut. Sebab almarhum itu (Maksudnya Tok Kenali) dapat setengah ilmu al-Allamah pada bilangan itu ialah kerana banyak mukhalathah dan mengaji daripadanya. Katakanlah seperti Abu Hurairah dengan Nabi kerana banyak bercampurnya dapat riwayat hadis tujuh ribu lebih. Dan al-Allamah yang tersebut itu almarhum sentiasa puji dan sebut; menunjukkan kasihnya demikianlah al-Allamah itu telah dapat khabar bahawa murid-murid yang lebih disayang ialah almarhum..."
Mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani ini, penulis pernah menerbitkan buku kecil di Yala (1971-1972) dan pernah dimuat dalam majalah Dian bilangan 49, tahun 1972. Kedua-dua karya tersebut adalah karya penulis yang pertama diterbitkan.
Selain itu, khusus mengenai pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani ada tujuh siri pernah dimuat dalam Dewan Budaya mulai April 1991 sehingga September 1991 dan disambung dalam bulan Oktober 1991. Dalam majalah Dakwah pula mulai Ogos 1989 hingga April 1991, dan disambung lagi Jun 1991 hingga Disember 1991, yang penulis tulis khusus membicarakan ulama-ulama Malaysia dan Patani. Sebahagian besar ulama yang dibicarakan ada hubungkaitnya dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Adakalanya mengenai pertalian dalam kekeluargaan, pertalian keilmuan daripadanya hingga ke atas dan murid-murid beliau.
Riwayat ringkasRiwayat ringkas Sheikh Haji Wan Mushthafa al-Fathani, iaitu datuk kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, pernah penulis tulis dalam majalah Al-Islam, Januari 1990, iaitu siri ke-3 di bawah judul Thabaqat Para Ulama Patani.
Dalam Jurnal Dewan Bahasa, Mac 1990, penulis perkenalkan pemikiran bahasa dan huruf Melayu baru ciptaan Sheikh Ahmad al-Fathani. Dalam Jurnal Bahasa, September 1991, diperkenalkan pula kitab Hadiqatul Azhar war Rayahin yang merupakan karya Sheikh Ahmad al-Fathani.
Sepanjang tahun 1990 dan 1991, dalam Jurnal Dewan Bahasa, penulis perkenalkan pelbagai kitab karya ulama dunia Melayu, yang sebahagian besar juga menyentuh nama Sheikh Ahmad al-Fathani, kerana beliau adalah selaku pentashih pertama. Nazham atau syair Sheikh Ahmad al-Fathani, baik dalam bahasa Arab mahu pun dalam bahasa Melayu, beberapa buah di antaranya juga penulis sebut dalam jurnal tersebut itu.
Selain yang penulis sebutkan, masih banyak mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani yang ditulis dalam majalah lainnya, di antaranya majalah Pengasuh.
Sebagai kesinambungan dari semua yang tersebut di atas, penulis menerbitkan pula buku khusus mengenai ulama ini, berjudul Sheikh Ahmad al-Fathani: Pemikir Agung Melayu dan Islam, Jilid 1 dan 2, terbitan Khazanah Fathaniyah, 2005.
Buku tersebut terkumpul maklumat lengkap mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani hasil dari kajian demi kajian yang penulis selidiki. Dalamnya terkandung di antaranya mengenai pemikiran dan perjuangannya, termasuk aktiviti keseluruhan murid-muridnya yang terkenal, keluarganya yang menjadi ulama dan tokoh dunia Melayu, dan lain-lain yang penulis fikirkan perlu ditonjolkan.
Penulis dulukan perkataan 'Melayu' dari perkataan Islam dalam judul buku tersebut adalah bermaksud bahawa beliau adalah seorang ahli fikir yang terbesar untuk seluruh zaman bagi dunia Melayu.
Penulis tidak bermaksud mengatakan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah pemikir agung atau besar untuk dunia Islam antarabangsa. Namun walau pun kecil, tidak dapat dinafikan bahawa ada peranan, sumbangan dan pemikiran beliau untuk kepentingan umat Islam sejagat hingga peringkat antarabangsa.
Kesinambungan daripada itu, penulis memperkembangkan lagi perbicaraan mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani melalui artikel ini secara bersiri, seperti yang pernah penulis lakukan sebelum ini.
Ia dimulakan dengan pengenalan, seterusnya biografi yang mengandungi asal-usul keluarga beliau, keturunannya, keluarga yang menjadi ulama dan tokoh, murid-muridnya, kewafatannya, hasil-hasil karya beliau yang terkenal, dan pemikiran-pemikiran dalam pelbagai bidang.
Sebagai permulaan, penulis memulakan dengan pengenalan dan asal-usul nama beliau sahaja. Seterusnya mengenai yang selainnya akan dibicarakan dalam siri-siri selanjutnya.
Asal-usulNama lengkap Sheikh Ahmad al-Fathani ialah Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zainal Abidin bin Datu Panglima Kaya Sheikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin (faqih Wan Musa al-Jambui as-Sanawi al-Fathani) bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi bin Ali al-Masyhur al-Laqihi.
Walau bagaimana pun nasab yang sahih dan tahqiq dari Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri ialah: Ahmad bin Zainal Abidin bin Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani.
Nasab ini beliau tulis pada tiga tempat iaitu pada akhir Hadiqah al-Azhar, juga pada akhir Tuhfatul Ummah dan dalam sebuah catatan.
Tetapi pada semua cetakan Ar-Risalah al-Fathaniyah ialah: Ahmad Zainal Abidin bin Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Musa al-Fathani. Pada nama Zainal Abidin disebut nama 'Musa'.
Ada kemungkinan 'Zainal Abidin' adalah sebagai nama gelar untuk Syeikh Faqih Wan Musa al-Fathani, kerana 'Zainal Abidin' bermaksud 'perhiasan orang-orang yang mengabdikan diri kepada Allah'.
Dalam salah satu manuskrip tulisan Tok Kelaba al-Fathani, ada dicatat bahawa datuk-neneknya berasal dari negeri Khurasan, iaitu yang pertama datang ke dunia Melayu bernama 'Syarif Zainal Abidin'.
Beliau ini merantau ke Pulau Jawa, lalu berkahwin dengan seorang perempuan yang berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi sesuatu peperangan di Jawa, maka 'Syarif Zainal Abidin' bersama dengan salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau jawa lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darussalam.
Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sehingga mudah baginya mendapat pengaruh di Kelaba dan juga meninggal dunia di Kelaba. Anak Syarif Zainal Abidin bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan, dan tinggal di Kampung Laut, Kelantan. Di Kampung Laut (Kelantan), beliau memperolehi anak bernama Abdullah. Abdullah memperolehi anak bernama Abdul Shamad.
Abdul Shamad ini pindah pula ke Kelaba dan mendapat anak bernama Abdul Mukmin. Abdul Mukmin mendapat anak bernama Abdul Latif, dan Abdul Latif mendapat anak bernama Husein (Tok Kelaba).
Syarif Zainal Abidin yang dicatat oleh Tok Kelaba sebagai datuk neneknya itu adalah sezaman dengan Zainal Abidin yang disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab ada hubungan kekeluargaan antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan Tok Kelaba, maka penulis yakin pertemuan nasab kedua-duanya adalah pada nama Zainal Abidin. Zainal Abidin pada salasilah Tok Kelaba kemungkinan adalah orang yang sama dengan Zainal Abidin pada salasilah Sheikh Ahmad al-Fathani.
Adapun nama Musa bin Muhammad Salleh bin Ali al-Masyhur al-Laqihi al-Fathani adalah berdasarkan tulisan Sheikh Muhammad Nur bin Sheikh Muhammad Ismail Daudy al-Fathani.
PenutupSelanjutnya, mengenai yang lain-lainnya akan dibicarakan dalam artikel ini secara bersiri-siri. Ia meliputi asal-usul keluarganya, keturunannya, keluarga yang menjadi ulama dan tokoh, murid-muridnya, kewafatannya, hasil-hasil karyanya yang terkenal, dan pemikiran-pemikiran beliau dalam pelbagai bidang.
0 comments:
Post a Comment