PULAU Midai yang dimulai dengan pemerintahan, sebagai ‘Wakil Sultan Riau-Lingga, Johor dan Pahang dan sekelian daerah takluknya” ialah Raja Haji Ilyas bin Raja Haji Umar. Mulai dengan penanaman pohon kelapa sama dengan daerah Pulau Tujuh lainnya sekitar tahun 1870-1880M.
Pusat pemerintahannya di Suak Midai. Untuk mengatur pemerintahannya, Raja Haji Ilyas terlebih dahulu mendirikan tiga bangunan yang dianggap penting, iaitu:
1. Masjid yang dinamakan Masjid Raja.
2. Pejabat pemerintahannya terletak di laut.
3. Rumah kediamannya terletak berdekatan dengan masjid.
Semua bangunan tersebut didirikan sekitar tahun 1882M, iaitu setelah kelapa mengeluarkan hasil.
Tindakan Raja Haji Ilyas mendahulukan dan mengutamakan bangunan masjid dari lainnya, adalah mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW sewaktu berpindah dari Mekah ke Madinah yang diutamakan dan membangun Masjid Quba. Juga telah menjadi adat raja-raja Melayu bahawa di mana raja membuat tempat kediaman, hendaklah terlebih dahulu membangunkan rumah ibadat atau masjid.
Sultan Syarif Abdur Rahman, Sultan Pontianak, yang pertama misalnya, turut mendahulukan masjid daripada yang lainnya. Masjid yang didirikan Raja Haji Ilyas tersebut sampai sekarang masih ada dan sekarang dinamakan Masjid az-Zuriyat.
Oleh kerana pusat pemerintahan tidak di Suak Midai lagi dan dipindahkan ke Tanjung Enong Tanjung Keramat dan pelabuhan kapal di Sebelat, maka berdiri sebuah masjid lagi di Suak Besar atau di lokasi Wakaf Umum Suak Besar sekarang.
Di zaman pemerintahan Raja Haji Ilyas, penduduk majoritinya ialah orang-orang Pesuku (orang laut). Pada masa itu, sebahagian besar yang mengisi Masjid Raja hanyalah kaum Diraja sahaja. Adapun setelah ramai para pendatang, masjid di Suak Besar mulai dikunjungi orang.
Namun pada masa itu apabila hari Jumaat terpaksa raja-raja memerintahkan orang-orang hitam Habsyi (hamba abdi raja yang dibeli) supaya menangkap mereka yang tidak mengerjakan Jumaat. Kemudian dibawa ke Suak Besar supaya melakukan solat Jumaat.
Orang-orang yang ingkar terpaksa melalui jalan pantai apabila mereka melalui masjid di Suak Besar itu. Tetapi orang-orang Habsyi tetap mengejar mereka dan memaksa dengan kekerasan supaya ke masjid. Ibarat secara paksa demikian berjalan seberapa lamanya, sehinggalah masjid di Suak Besar itu diimami oleh Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar.
Bermula riwayatnya, apabila Haji Wan Abdur Rahman datang dari Mekah sekitar tahun 1336 H, maka masyarakat melantiknya menjadi Imam Suak Besar sekali gus sebagai ‘Ulama Bertauliah’ di Midai. Beliau tidak menyetujui ibadat dengan cara paksa seperti tersebut.
Pemerintah Midai ketika itu yang sebagai muridnya menyetujui bahawa ibadat Jumaat secara tangkap paksa tersebut dihentikan. Oleh kerana sebahagian besar penduduk ketika itu memang masih jauh ketinggalan tentang hukum-hukum Islam, hal ini mengakibatkan dari hari ke hari jemaah ke masjid semakin berkurangan.
Mendirikan masjid baru
Setelah ditinjau, Haji Abdur Rahman mendapati bahawa perkara itu bukanlah disebabkan orang-orang yang tidak melakukan solat Jumaat, tetapi kerana penduduk di Suak Besar memang tidak ramai.
Orang mulai ramai di Sabang Barat. Beliau mulai mengambil inisiatif untuk memindahkan Masjid Suak Besar itu di tempat penduduk yang mulai pesat dan bakal berkembang.
Maka pada satu hari setelah solat Jumaat diadakan pertemuan kilat di Masjid Suak Besar itu, yang terdiri para tokoh, iaitu:
1. Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar, imam dan guru bertauliah
2. Penghulu Ismail, Ketua Pemerintah Midai pada ketika itu.
3. Raja Ali bin Raja Mohammad Nong, Ketua Syarkah Ahmadi & Co Midai, juga seorang tokoh terkemuka Riau, terutama Pulau Tujuh dan Singapura.
4. Haji Abdullah Yusuf, Ketua Air Putih Syarkah, dan ulama besar yang mempunyai surat boleh mengajar di Masjidil Haram, Mekah.
5. Dukun Mahmud, tokoh masyarakat Kuantan.
6. Teguh, tokoh masyarakat Kuantan.
7. Pehin Datu, tokoh masyarakat Kuantan.
8. Sihak, seorang pedagang/ orang kaya.
9. Intan Judin, ketua Syarikat Dagang Kampar.
Permulaannya, Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar memberikan dasar mendirikan masjid menurut Mazhab Syafie, di antaranya ialah, “Tidak sah negeri yang berkota mendirikan Jumaat di luar kota, tidak sah negeri yang tidak berkota mendirikan Jumaat di kesudahan tempat yang didiami manusia.”
Maka apabila dikaji, didapati bahawa kota dan pelabuhan Midai ketika itu ialah Sabang Barat. Selain itu, didapati juga Masjid Suak Besar ketika itu terletak jauh di luar kota dan di tempat yang hampir-hampir tidak didiami orang.
Hasil perbincangan itu, memutuskan perkara-perkara berikut iaitu:
1. Memindahkan solat Jumaat dan Masjid Suak Besar ke Sabang Barat.
2. Membangunkan masjid baru untuk solat Jumaat dan lain-lain lagi di Sabang Barat.
3. Imam masih tetap pada ketika itu iaitu Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar.
4. Ketua bagi mengelola pembangunan diamanahkan kepada Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku Nong, sekali gus mewakili bumiputera dan nama Syarikat Ahmadi & Co Midai.
5. Ketua pengurus Kampar-Kuantan diberi kepercayaan kepada Tauke Sihak dan Dukun Mahmud.
Maka Raja Ali mulai menjalankan tugasnya dengan menyuruh orang menebang pohon-pohon kelapa. Dilaksanakan kerja-kerja yang secara gotong-royong itu dimulai pada 7 Syawal 1341 H bersamaan 21 Mei 1922 M, dengan mengangkut batu dari laut dan dibawa ke lokasi yang dibangunkan. Arkiteknya didatangkan khusus dari Terengganu, seperti mana permintaan Raja Ali sendiri.
Lebih kurang setahun kemudian, maka tibalah dua perahu besar dari Terengganu di bawah pimpinan Wan Abdullah Terengganu atau popular dengan gelaran Cik Wan Lah, masuk di Pelabuhan Sabang Barat. Tidak dinafikan lagi bahawa kedu-dua perahu itu membawa bahan-bahan untuk membangunkan masjid yang siap dipahat dan diketam di Terengganu, hanya tinggal untuk memasangnya sahaja. Boleh dikatakan bahan-bahan untuk dibangunkan masjid tersebut didatangkan khusus dari Terengganu, melainkan simen yang diimport lebih awal dari Singapura.
Hanya beberapa bulan sahaja, kerja-kerja mendirikan masjid itu siap sepenuhnya. Ia berdiri dengan megah di pinggir Kota Sabang Barat. Kota yang diapit oleh dua bangunan yang hampir sama bentuknya, iaitu bangunan Ahmadi & Co Midai dan masjid yang megah itu.
Masjid tersebut diberi nama Masjid Jami’ Sabang Barat, yang dirasmikan menjelang solat Aidilfitri pada hari Selasa, 1 Syawal 1342 H / 6 Mei 1924.
Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar adalah sebagai imam yang pertama sejak masjid itu dirasmikan sehingga beliau meninggal dunia pada hari Isnin, 22 Rejab 1344 H / 18 Februari 1926 M.
Pada sekitar tahun 1986, sewaktu masjid ini diperbaiki namanya ditukar kepada Masjid Baitur Rahman, mengambil sempena nama pendirinya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar dan nama dua orang imam yang lain sesudah beliau yang juga bernama Abdur Rahman.
Bahan bangunan masjid
Hampir keseluruhan bahan bangunan masjid dibawa dari Terengganu. Antaranya adalah bahagian atap dibuat dari kayu belian, dinding dari kayu cengal, lantai dibuat dari simen yang didatangkan dari Singapura. Uniknya bangunan ini tidak menggunakan sebarang paku besi, tetapi memasak kayu.
Di bangunan loteng pada bahagian atas sekali terdapat reka bentuk seperti nisan. Hal yang sama juga pada muka di atas beranda yang terdapat satu nisan. Nisan-nisan tersebut dibuat sedemikian rupa kerana mengandungi maksud yang tersendiri, iaitu:
1. Nisan yang terletak pada muka sekali bermaksud sebagai lambang syarikat Ahmadi & Co Midai dan bumiputera yang tetap menjadi pemimpin untuk masjid dan sebarang kegiatan di Pulau Midai.
2. Ahmadi & Co Midai dan bumiputera menjunjung tinggi dan menghormati kaum pendatang, yang pada ketika itu yang teramai datang adalah Kampar dan Kuantan. Oleh itu, dua dari batu nisan tersebut bererti adalah lambang Kampar dan Kuantan.
3. Selain tiga nisan tersebut, terdapat satu lagi batu nisan yang terletak di atas mimbar. Ia diberi penafsiran bahawa sama ada bumiputera, Kampar atau Kuantan, mahupun siapa sahaja pasti akan mati. Ia dinisbahkan bahawa lumrah nisan pasti ada pada setiap kubur kaum Muslimin.
Nisan di atas mimbar adalah satu penegasan bahawa setiap khatib tidak sekali-kali membicarakan persoalan duniawi yang tidak ada sangkut paut dengan akhirat. Khatib diwajibkan memberi ceramah persoalan takwa dan wasiat. Bahawa sangat banyak hadis yang melarang berbicara dunia di dalam masjid.
Ciri-ciri masjid
Masjid Jami’ Sabang Barat mempunyai pagar-pagar yang terukir di kiri dan kanan beranda muka. Dari muka terdapat tiga pintu, satu menyorong jauh ke muka, Di mukanya terdapat anak tangga, yang di kiri dan kanannya ada beranda persis masjid Pulau Penyengat, Riau yang bersejarah itu. Dan di kiri kanan masjid masing-masing terdapat satu pintu naik ke atas.
Di bahagian atas loteng terdapat tempat untuk orang Azan, seolah-olah loteng bangunan Ahmadi & Co Midai yang ada pada satu masa dulu. Sebagaimana masjid-masjid lainnya, pada bahagian arah ke kiblat terdapat mihrab yang diukir.
Mimbar
Mimbar ialah tempat khatib berkhutbah. Khusus dipergunakan untuk khutbah setiap hari Jumaat, dan dua hari raya. Mimbar masjid ini juga penuh dengan ukiran bunga dan pohon yang menjalar dan merayap. Bunga melambangkan sesuatu yang harum. Agama Islam adalah termasuk perlambangan bunga yang harum itu. Islam itu merayap dan menjalar menuju sasaran penyebarannya.
Mimbar ini juga didatangkan dari Terengganu. Mengikut mimbar Nabi Muhammad SAW dan empat sahabat baginda Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a. Sebagaimana yang diterangkan dalam fiqh-fiqh Mazhab Syafie sebagai berikut “Adalah mimbar Nabi SAW tiga tangga, selain dari Mustarah.”
“Nabi Muhammad SAW berkhutbah ditangga yang ketiga. Saidina Abu Bakar berkhutbah ditangga yang kedua. Saiyidina Umar berkhutbah di tangga yang paling bawah. Saidina Uthman berkhutbah naik semula ditangga yang ketiga seperti Nabi SAW.”
Tersebut di dalam kitab Bughyathut Thullab “Disebutkan pula bahwa di zaman pemerintahan Mu‘awiyah tangga mimbar dibuat sampai sembilan.”
Terdapat banyak lagi ciri binaan unik yang terdapat di dalam dan di luar Masjid Jami’ Sabang Barat ini, yang mana semuanya melambangkan maksud-maksud yang tersendiri yang tidak dapat diceritakan pada ruangan yang terbatas ini.
Penutup
Demikianlah riwayat ringkas tentang pembinaan masjid di Midai, yang pada waktu yang sama juga dibangunkan sebuah rumah wakaf untuk imam masjid di sebelah utara masjid.
Untuk artikel selanjutnya, akan dibicarakan pula mengenai sejarah hidup 10 tokoh-tokoh yang menjadi imam masjid tersebut.
0 comments:
Post a Comment